suria

Dua Wanita Afrika Ditahan Cuba Seludup Syabu Hampir RM2 Juta

SHAH ALAM: Polis Selangor mematahkan cubaan menyeludup syabu seberat 7.2 kilogram bernilai hampir RM2 juta oleh dua wanita warga Afrika ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa dan Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata kedua-dua suspek ditahan anggota polis ketika mereka sedang menanti teksi limo di Aras 5, KLIA untuk membawa mereka ke satu destinasi yang tidak diketahui.

Beliau berkata dalam operasi pertama kira-kira pukul 8.45 pagi Selasa lalu, polis menahan seorang wanita berasal dari Togo Leise, Afrika selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dan merampas sembilan botol berisi cecair dipercayai dadah serta dua bungkusan plastik lutsinar berisi syabu seberat tiga kilogram.

"Wanita itu mendakwa cecair itu digunakan bagi membuat minyak wangi. "Kita sudah menghantar sampel daripada 7.2 liter cecair tersebut dan menunggu laporan kimia bagi mengetahui kandungan cecair itu," katanya dalam satu sidang akhbar dekat sini.

Nordin berkata pemeriksaan terhadap wanita kedua berasal dari Nigeria kira-kira pukul 3.50 petang pada Jumaat lepas pula menemui dadah syabu seberat 4.2 kilogram yang disorok pada bahagian pelapik beg pakaiannya.

Menurut Nordin, wanita yang bekerja sebagai tukang cuci itu juga mendakwa datang ke negara ini untuk mencari rezeki.

"Pemeriksaan pada dokumen perjalanan suspek mendapati itu merupakan kali pertama mereka ke negara ini dan kedua-duanya datang ke sini melalui penerbangan dari Doha.

"Kita tidak menolak kemungkinan mereka ini dijadikan kurier bagi menyeludup dadah ke negara ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menjejaki kumpulan sindiket berkenaan," katanya.

Nordin berkata tahanan reman wanita dari Togo berakhir esok, manakala wanita Nigeria berakhir Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain