suria

SPRM Diminta Siasat Dakwaan Wujud Pilih Kasih Dalam Pengagihan Tapak Bazar Deepavali

KLANG: Persatuan Kebajikan Indian Malaysia (PKIM) dan beberapa peniaga individu pada Ahad meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan kemungkinan wujudnya amalan pilih kasih dalam urusan pembahagian tapak bazar sempena sambutan Deepavali di Jalan Tengku Kelana di sini.

Presiden PKIM A.Prakash mendakwa pembahagian tapak gerai itu tidak dilakukan secara sama rata oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan ini menutup peluang peniaga-peniaga kecil tulen daripada keturunan India untuk turut sama mencari rezeki secara halal.

"Pembahagian tapak-tapak gerai ini seharusnya dilakukan secara sama rata dan terbuka supaya kedua-dua individu dan persatuan diberi peluang menjalankan aktiviti perniagaan secara adil," katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan berhubung perkara itu di pejabat SPRM cawangan Klang di sini.

Prakash percaya ada sesetengah persatuan mengaut keuntungan ribuan ringgit dengan menjual tapak yang diperoleh itu kepada pihak ketiga.

"Pembeli tapak berkenaan kadang-kadang enggan mahu berpindah meskipun peniaga individu tulen memperoleh lesen sementara sah untuk menyewa tapak tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain