suria

Pemilik Syarikat Tayar Mati Ditembak Depan Pintu Masuk Perkuburan

KAJANG: Seorang pemilik syarikat pembekal tayar mati ditembak di hadapan pintu masuk tanah perkuburan cina Taman Peringatan Nirvana di Sungai Lalang, Semenyih dekat sini pada Ahad.

Kho Hock Kah, 51, ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di badan oleh seorang pengawal keselamatan tanah perkuburan itu pada pukul 6.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Shakarudin Che Mood berkata pengawal keselamatan itu pada mulanya ternampak seorang lelaki di atas jalan pada kira-kira 12 tengah malam tetapi membiarkannya kerana menyangka dia tertidur akibat mabuk.

"Sangkaannya meleset apabila pagi ini, pengawal keselamatan itu menghampiri mangsa untuk mengejutkannya sebelum menyedari dia sudah mati dan ada kesan darah di badannya.

"Mangsa mati akibat satu das tembakan di sebelah kanan badan belakang sebelum menembusi bahagian depan sebelah kiri. Polis turut menemui satu kelongsong peluru berdekatan mayatnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Balai Polis Semenyih Ahad.

Shakarudin berkata Kho yang berpakaian kemeja T putih dan berseluar denim biru dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan menggunakan pistol separa automatik di kawasan itu.

Beliau berkata polis menolak kejadian itu bermotifkan samun memandangkan barangan berharga lelaki itu seperti dompet dan kunci kereta tidak dilarikan.

"Mangsa dipercayai dibawa ke kawasan itu oleh suspek sebelum ditembak di tempat kejadian.

"Polis sedang mengesan lokasi kereta Nissan Sentra berwarna perak dengan nombor pendaftaran WPY2099 milik mangsa kerana kunci kereta itu ada bersama mangsa," katanya.

Kho yang mempunyai syarikat pembekal tayar di Bandar Teknologi Kajang, telah bercerai dan tinggal bersendirian di Taman Ria, Sungai Jelok, Kajang.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain