suria

Linda Tsen Calon BN Bagi Pilihan Raya Kecil Batu Sapi

DATIN Linda Tsen Thau Lin, isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah yang juga Timbalan Ketua Wanita PBS Elopura diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi 4 November ini.

Musa berkata calon yang dipilih itu dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua parti komponen BN Sabah.

"Bagi Datin Linda, Batu Sapi bukanlah asing bagi beliau, dan politik bukan juga asing kepada beliau, kerana beliau adalah seorang Naib Ketua Exco Wanita PBS.

"Jadi, bagi dia ini adalah satu perkhidmatan, peluang untuk beliau teruskan perjuangan mendiang suami beliau dan beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas pengumuman itu.

Musa berkata memang sudah terbukti banyak wanita berkelayakan dan berkebolehan untuk menjadi pemimpin di negara ini, justeru peluang sebegini diberi kepada golongan wanita.

"Bagi kita di Sabah, kita juga mahu menonjolkan banyak lagi wanita yang berkebolehan, berdedikasi dan boleh memberi khidmat kepada rakyat," katanya. Musa berkata Tsen berjanji akan bekerja keras dan memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat di Batu Sapi.

Menjawab soalan sama ada pemilihan itu dibuat berdasarkan faktor simpati, Musa berkata terpulang kepada penilaian rakyat kerana yang penting calon dipilih boleh memberi perkhidmatan melalui pengalaman politik yang ada.

Sementara itu, Tsen apabila ditanya sama ada pemilihannya sebagai calon pilihan raya kecil itu satu perkara yang sukar buat dirinya memandangkan beliau baru kehilangan suami, berkata: "Saya berbesar hati kerana dipilih sebagai calon. Saya tahu saingan ini amat sukar, kita perlu bekerja keras.

"Ini adalah peluang untuk saya meneruskan khidmat bakti yang dicurahkan mendiang suami saya Datuk Edmund Chong," katanya.

Mengenai persediaan kempen BN untuk pilihan raya kecil ini, Musa berkata B Nnegeri telahpun bermesyuarat dan mengagihkan tugas kepada semua ketua bahagian dan wakil rakyat dalam parti komponen gagasan itu.

"Kita berjanji akan bekerja kuat dan bekerja keras bagi kemenangan Datin Linda. Insya-Allah dengan sokongan, dukungan dan kerjasama semua parti BN di Sandakan ini yang akan bekerja keras siang dan malam, kita boleh berjaya," kata beliau.

Tsen, anak kelahiran Sandakan, mengikut persekolahan awalnya di Sekolah Rendah Chi Hwa dan Sekolah Menengah Tiong Hwa, di sini.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di St Brandon School, United Kingdom, dan Trinity College of Music, London serta Fellowship London College of Music.

Seorang pemain piano profesional, Tsen juga merupakan pemain piano dan kordinator Musical Productions of Kota Kinabalu International School dan bekas presiden Kota Kinabalu Music Society.

Beliau mempunyai empat anak, iaitu tiga perempuan berumur antara 18 dan 23 tahun dan yang bongsu seorang lelaki berumur 13 tahun.- BERNAMA

Artikel Lain