suria

Ingatan PM Jangan Bahas Hak Istimewa Orang Melayu Disambut Baik

KUALA LUMPUR: Peringatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya perbahasan mengenai hak keistimewaan orang Melayu dihentikan, disambut baik oleh pelbagai pihak.

Budayawan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata kenyataan Perdana Menteri (PM) ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO semalam, merupakan satu kenyataan yang tegas dan memberi semangat kepada orang Melayu secara keseluruhannya.

"Saya rasa PM telah membuat satu kenyataan yang sangat baik untuk menjadikan bangsa kita (Melayu) ini stabil, dan supaya semua orang faham mengenai status bangsa Melayu di negara ini," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Nik Safiah yang juga tokoh bahasa Melayu berkata, bangsa Melayu perlu mempunyai agenda untuk terus memperbaiki diri sendiri supaya menjadi lebih pandai dan berjaya tanpa bantuan orang lain serta tidak hanya mengharapkan hak keistimewaan yang dianugerahkan.

"Apa yang diumumkan beliau (Najib) semalam adalah bagus untuk orang Melayu, tapi orang Melayu sendiri jangan disebabkan perkara itu, terus tidur lena dan tidak berbuat apa-apa," katanya.

Beliau berkata walaupun perkara itu telah dijelaskan secara terang-terangan oleh Perdana Menteri, orang Melayu tidak boleh menganggap bangsa lain akan terus menyepi dan berpuas hati.

"Walaupun mereka senyap di hadapan, namun di fikiran, mereka akan terus memikirkan mengenai hal tersebut dan berbincang sesama sendiri," katanya sambil menggesa orang Melayu supaya sedar dan berusaha menjadi bangsa yang lebih kukuh.

Sementara itu, timbalan presiden Majlis Muafakat Ummah (Pewaris) Rahimuddin Md Harun yang memuji pendirian Najib, berkata ia selari dengan perjuangan badan berkenaan selama ini.

Katanya, kebanyakan pihak yang mempersoalkan isu hak keistimewaan orang Melayu itu hanya ingin menjadi juara kepada bangsa mereka sendiri, walaupun menyedari bahawa perkara itu tidak boleh diganggu.

Artikel Lain