suria

Gendang Pilihan Raya Umum Mula Dipalu

Analisis oleh HAIRULAZIM MAHMUD BAHANG pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) semakin terasa. Gendangnya mula dipalu di Perhimpunan Agung Umno ke-61 walaupun belum benar-benar deras.

Kehangatannya mulai membakar khususnya ahli-ahli Umno apabila Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak melabuhkan tirai Perhimpunan Agung dengan peringatan kepada semua Badan Perhubungan Negeri di seluruh negara bahawa beliau bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin akan menemui rakyat mulai tahun depan.

Itu merupakan amalan biasa bagi pucuk pimpinan negara apabila sudah ada bibit-bibit mahu melangsungkan pilihan raya sejak ia mula diperkatakan kebelakangan ini.

Ucapan beliau secara terus-terang mahukan semua pihak bersiap sedia mengadakan perhimpunan besar-besaran walaupun masih berteka-teki mengenainya. Hanya Najib yang juga Perdana Menteri yang mengetahui tarikh berkenaan.

"Mulai tahun depan saya dan timbalan saya akan turun ke negeri-negeri, nak jumpa Umno dan rakyat," kata Najib semasa menggulung perbahasan pada Sabtu.

Najib juga menekankan betapa mustahaknya Umno serta Barisan Nasional (BN) mempertahankan Putrajaya daripada dirampas pakatan pembangkang.

Pada sidang akhbar selepas itu, ketika ditanya mengenai jelajah bertemu rakyat itu sebagai petanda pilihan raya semakin hampir, beliau membiarkan para wartawan terus berfikir-fikir sendiri tentang persoalan pilihan raya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno turut menyelak sedikit soal PRU yang mungkin berlaku tidak berapa lama lagi semasa sesi penggulungan.

Kata beliau: "Masa di depan kita tidak banyak lagi. Saya tidak pasti bila Perdana Menteri hendak umum pilihan raya tapi hanya tinggal beberapa bulan saja ke hadapan."

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga diminta bersiap sedia menghadapi pilihan raya di Sarawak awal tahun depan, sudah pastinya jika benar negeri itu akan mengadakan pengundian tahun yang sama.

Apa sekalipun, menjelang PRU-13 nanti, sudah pastinya banyak persediaan yang perlu dilakukan Umno dan BN.

Sengketa dalaman antara komponen yang kini menjadi rahsia terbuka mesti dihentikan segera bagi mengembalikan keyakinan pengundi kepada parti pemerintah.

Pertembungan yang ternyata tidak memberi faedah kepada anggota BN sebaliknya menganugerahkan manfaat kepada pakatan pembangkang mesti dinoktahkan jika tidak berkira-kiralah untuk terus hilang dan hilang kerusi yang ada.

Jika ia berlarutan bakal menjadi duri dalam daging kepada BN dan hasrat merampas kembali sekurang-kurangnya Kedah, Selangor atau Kelantan pasti menemui kegagalan.

Kerja keras berterusan dari Sabah hinggalah ke Perlis mesti digandakan. Kelamahan Umno dan BN adalah kelebihan kepada Pakatan Rakyat - jika masih ada yang tidak sedar.

Empat juta pengundi baru yang rata-ratanya orang muda wajar dipikat kerana mereka adalah golongan palig relevean menguasai massa ketika ini. Lupakan orang-orang lama yang sudah terpasak di benak mereka pilihan sama ada Umno, PAS atau parti lain.

Cadangan mewujudkan pemikir dalam parti khususnya Pemuda Umno oleh Ketuanya, Khairy Jamaluddin yang sduah direstui Najib mesti digerak segera.

Tidak perlu lagi diigatkan lagi tentang tugas, tanggungjawab dan transformasi kerana semuanya telah dipasakkan oleh Najib kepada para perwakilan untuk disampaikan kepada akar umbi.

Pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi mungkin terlalu dekat untuk dinilai keberkesanannya tetapi sekurang-kurangnya itulah titik permulaan. Kalau terus bongkak, khayal dan tidak sedar diri maka lupakannlah kemenangan.

Artikel Lain