suria

BN Yakin Kuasai Sebahagian Besar Pengundi Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak yakin bahawa peluang parti pemerintah untuk memenangi kerusi kawasan Batu Sapi tidak terjejas walaupun bakal berdepan dengan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee.

Najib, yang juga Perdana Menteri, berkata BN boleh menguasai sebahagian besar pengundi di kawasan Parlimen Batu Sapi walaupun berdepan dengan calon Parti Maju Sabah (SAPP) itu.

"Semua orang bebas jadi calon. Biarlah dia nak masuk (bertanding). Kita akan berdepan dengan dia," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Umno ke-61 yang berakhir Sabtu.

Najib berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman pencalonan Yong oleh SAPP hari ini dan sama ada ia boleh menjejaskan peluang BN untuk memenangi kerusi parlimen itu.

Keputusan oleh SAPP itu diumumkan naib presidennya, yang juga Pengerusi SAPP Bahagian Karamunting Poon Kee Yang, pagi ini.

Ini kali pertama Yong dipilih sebagai calon pilihan raya, selepas beliau hilang kelayakan untuk berbuat demikian selama lima tahun mulai 2001 kerana melanggar peraturan pilihan raya pada 1999.

Walaupun larangan terhadap beliau itu ditarik balik pada 2006, Yong tidak mengambil bahagian pada pilihan raya umum 2008 apabila permintaan SAPP untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu yang disandang oleh Parti Bersatu Sabah (PBS), ditolak oleh Barisan Nasional (BN).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian ditetapkan pada 4 Nov. -BERNAMA

Artikel Lain