suria

Ansari Calon PKR Bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi

SANDAKAN: Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Ansari Abdullah dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Pengumuman pemilihan Ansari sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Hakka di sini.

Ansari, seorang peguam kanan profesional, juga merupakan ketua cabang PKR Tuaran.

Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan pada Selasa ini dan pengundian pada 4 November.

Ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku perpecahan undi di kalangan pembangkang apabila Parti Maju Sabah (SAPP) turut bertanding, Anwar berkata soal itu tidak timbul kerana SAPP tidak pernah menyifatkan diri mereka, termasuk di Parlimen, sebagai pembangkang.

Katanya SAPP adalah parti bebas yang boleh menyokong mana-mana pihak dan sehubungan itu undi mungkin berpecah di kalangan calon bebas.

Ansari pula mengakui pilihan raya kecil di Batu Sapi kali ini adalah sengit namun yakin mampu memberi saingan kepada BN berdasarkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12.

Pengerusi DAP negeri Ir Hiew King Cheu juga mengakui pilihan raya kecil berkenaan adalah sengit.

BN pada Ahad mengumumkan pemilihan Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah Bahagian Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

SAPP pula memilih presidennya Datuk Yong Teck Lee sebagai calon pilihan raya kecil berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain