suria

Tubuh Majlis Ulama Umno Mampu Hadapi Pas

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno Perlis, Fathul Bari Mat Jahya mencadangkan penubuhan Majlis Ulama Umno bertujuan menyelaras kenyataan atau hujah berkaitan isu agama yang dibangkitkan oleh parti pembangkang.

Beliau yang juga salah seorang daripada 40 ulama muda yang menyertai Umno baru-baru ini berkata, penubuhan itu diyakini dapat mengelakkan percanggahan dan pergeseran mengenai sebarang isu khususnya berkaitan agama.

Beliau turut mencadangkan supaya ahli Majlis Ulama Umno itu dipilih dan dijadikan pegawai parti di setiap bahagian.

"Setiap tahun 196 ilmuan daripada majlis itu dapat berkumpul pada Perhimpunan Agung Umno akan dapat mengikuti perhimpunan ini," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno ke-61 di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Fathul mencadangkan supaya kerajaan memperkukuhkan institusi imam dengan mewujudkan penjawatan khas untuk mereka di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ini kerana katanya, adalah menjadi kerugian graduan yang kebanyakannya dari universiti antarabangsa tidak diserap ke masjid-masjid yang menjadi mercu kejayaan umat Islam sebelum ini.

"Kebolehan mereka memakmurkan masjid perlu digunakan sepenuhnya dan sudah tentu langkah kerajaan menaikkan elaun imam adalah baik tetapi jika mereka ini diserap terus ke dalam JPA adalah lebih baik," katanya.

Sementara itu, Fathul turut mempertahankan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikecam oleh parti pembangkang kerana menjadi penaung kepada sebuah pertunjukan fesyen menggunakan nama Islam di Jakarta baru-baru ini.

Katanya, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk terus menghakimi dan menghukum seseorang tanpa membuat usul periksa terlebih dahulu.

Malah katanya, Islam telah menggariskan satu panduan jelas untuk menegur dan menasihati pemerintah dengan cara berhemah dan bukannya secara terangan.

"Sebelum nak menghukum dan mengadili seseorang kita perlu meneliti apa sebab perkara itu berlaku.

"Bukannya terus menghukum tanpa usul periksa," katanya.

Artikel Lain