suria

Tubuh Jawatankuasa Khas Jaga Penuntut Melayu Di Asia Barat

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno Pulau Pinang mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ditubuhkan bagi menjaga kebajikan dan mendekati penuntut Melayu di Asia Barat.

Ketua Umno Tasek Gelugor, Shahbuddin Yahaya berkata jawatankuasa khas itu perlu terdiri daripada pelbagai agensi JPM yang akan berperanan untuk meneliti, merancang dan menyelaras isu-isu pembangunan pendidikan pelajar berkenaan, sekaligus mengeratkan hubungan dengan mereka.

"Mereka adalah aset negara kerana sebahagian mereka bakal mendidik anak bangsa dan mengurus tadbir institusi Islam di Malaysia termasuk bidang kehakiman syarie.

"Insya-Allah, dengan penubuhan jawatankuasa ini tiada lagi isu yang mengaitkan pelajar lulusan Asia Barat tidak menyokong kerajaan," katanya semasa membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu.

Shahbuddin berkata, jawatankuasa khas itu juga boleh memberi maklumat berhubung pembangunan kerjaya di dalam negara dan bukan sekadar menjadi imam atau guru agama.

Katanya, mereka sebenarnya mempunyai pelbagai pilihan kerjaya seperti menceburi institusi kewangan dan perbankan Islam atau menjadi usahawan Muslim berjaya dalam bidang pelancongan di Asia Barat.

Beliau turut mencadangkan supaya usaha pengukuhan institusi Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sistem kehakiman syarie perlu diteruskan.

“Saya mencadangkan supaya kerajaan menyegerakan penubuhan Mahkamah Rayuan Syariah di peringkat persekutuan untuk memberi keadilan dan memperkemaskan urus tadbir sistem kehakiman syariah negara ini serta pengiktirafan kepada hakim-hakim syarie,” katanya.

Artikel Lain