suria

Pindah Menara Warisan Merdeka Ke Kg Baru: Ada Pro, Kontranya

PENGUMUMAN pembinaan menara Warisan Merdeka yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM5 bilion mendapat reaksi pelbagai daripada banyak pihak.

Sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan projek mega itu pada pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini, parti pembangkang seperti biasa mula meniupkan semboyan kebencian mereka dan menimbulkan polemik di kalangan rakyat tentang kewajaran pembinaannya.

Nada yang sama mereka laungkan semasa mula-mula pembinaan projek mega diumumkan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas dan Putrajaya- sekadar menyebut beberapa projek mega - yang akhirnya ternyata memberi manfaat besar kepada negara dan rakyat.

Akibat pelbagai keritikan diterima kerajaan, akhirnya Najib memberitahu bahawa cadangan pembinaan itu dicadangkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), bukan diarahkan oleh beliau.

Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dalam satu taklimat mengenai projek itu secara jelas memberitahu bahawa pembangunan projek Warisan Merdeka dengan menara tertinggi di Malaysia akan dibiayai melalui dana dalamannya sendiri tanpa ‘menyentuh’ dana pemegang unit amanahnya.

Keseluruhan projek itu bernilai RM5 bilion itu dijangka siap pada tahun 2015 dengan menara setinggi 100 tinggkat - lebih tinggi dari Menara Berkembar Petronas (88 tingkat).

Hamad Kama Piah menjelaskan projek mega berkenaan bukanlah sesuatu yang baru dirancang dan dimasukkan dalam Bajet 2011 tetapi telah direncanakan sejak tahun 2004 selepas kawasan tanahnya dibeli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. pada tahun 2000.

Dan pada hari kedua Perhimpunan Agung Umno 2010, projek Warisan Merdeka mendapat perhatian perwakilan semasa membahaskan usul ekonomi.

Wakil Titiwangsa, Datuk Johari Ghani mencadangkan supaya projek itu dibangunkan di Kampung Baru sebagai lambang kejayaan orang Melayu berbanding tapak asal dekat Stadium Negara.

Sifirnya mudah, PNB adalah syarikat milik kerajaan (GLC) yang dikendalikan sepenuhnya oleh bumiputera, maka apa salahnya projek itu dibina di Kampung Baru yang juga tanah milik Melayu.

Lagipun di Kampung Baru, tanahnya lebih luas iaitu 97 hektar berbanding hanya 9 hektar di tapak asal.

Kata Johari yang juga Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, jika cadangannya diambil kira, maka nilai tanah-tanah orang Melayu di Kampung Baru akan naik berlipat kali ganda selain menjana ekonomi mereka untuk jangka masa panjang serta amat menguntungkan.

“Datuk Seri, mungkin tidak sedap mendengar cadangan ini tapi Datuk Seri tak perlu buat keputusan hari ini," katanya kepada Perdana Menteri dalam ucapannya.

Tambah Johari, tiada salahnya Warisan Merdeka dibina di tengah-tangah kawasan Melayu di Kampung Baru yang diasaskan 110 tahun lalu di bawah Enakmen Penempatan Pertanian Melayu (MAS) 1950.

Bagaimanapun cadangan Johari itu ada buruk dan baiknya kepada Umno.

Yang baiknya, Umno sebagai parti orang Melayu melalui PNB sebagai GLC membina menara itu di Kampung Baru. Maknanya, tidak hilang kemelayuan tanah kampung tradisional di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur berkenaan.

Dibangunkan oleh orang Melayu untuk kemajuan bangsa pada masa depan. Pemilik tanah kampung itu mungkin akan berasa lega kerana pihak yang mahu membangunkan kawasan itu ialah di kalangan syarikat Melayu, pegangan mereka lebih terjamin selain tidak digugat oleh kaum lain.

Kebimbangan tentang keuntungan yang mereka peroleh juga mungkin tidak menimbulkan sebarang kesangsian.

Tapi yang buruknya ialah, jika cadangan itu diterima, maka kesempatan ini akan diambil sebaik-baiknya oleh pembangkang dengan menuding bahawa Umnolah yang mahu merampas tanah orang Kampung Baru dan mengenepikan pemilik tanah.

Mereka akan lontarkan bahawa, selama ini Umnolah yang berminat untuk 'merampas' tanah yang bernilai berbilion ringgit. Dan barangkali tuduhan yang lebih dahsyat pembangkang, mengatakan bahawa Umno akan menjual tanah itu kepada `tokey-tokey Cina' yang sememangnya amat mengidamkan kawasan Kampung Baru.

Sebab itu, cadangan untuk memindahkan projek itu harus diteliti dengan mendalam. Projek Warisan Merdeka seolah-olah tidak disenangi rakyat apatah lagi jika ia dipindahkan ke kawasan kontroversi seperti Kampung Baru.

Perdana Menteri dan kerajaan perlu mengkaji sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan. Jika kekal dekat Stadium Negara, mungkin tiada masalah, tetapi jika syor wakil Umno Wilayah Persekutuan itu diperhalusi, maka berhati-hatilah.

Umno dan Barisan Nasional perlu ingat bahawa kesemua kerusi Parlimen dalam Wilayah Persekutuan bukan milik mereka.

Najib yang juga Presiden Umno pasti akan memikirkannya dengan penuh bijaksana.

Artikel Lain