suria

Orang Ramai Semakin Sedar Tentang Kepentingan Pendermaan Organ

KUALA LUMPUR: Kesedaran orang ramai tentang pendermaan organ semakin meningkat hasil publisiti menerusi media yang mempromosikan'Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2010'.

Ketua Penyelaras dan Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan Dr Lela Yasmin Mansor berkata kempen yang bermula pada 16 Okt lepas membuktikan keperihatinan orang ramai terhadap pendermaan organ.

"Saya berasa bersyukur dan gembira kerana kempen yang julung kali diadakan ini, akhirnya mendapat sambutan yang baik di kalangan orang ramai meskipun terdapat beberapa pandangan negatif namun usaha ini sudah cukup berbaloi," katanya kepada media selepas Majlis Bicara Hati Sempena Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Kebangsaan 2010 di Institut Jantung Negara, Sabtu.

Beliau berharap kempen berkenaan akan dijadikan acara tahunan untuk meningkatkan kesedaran dan kepentingan menderma organ di kalangan orang ramai.

"Tidak dinafikan masih ada di kalangan kita yang masih ragu-ragu atau was-was tetapi sekiranya kita mempunyai keinginan untuk berbuat demikian tidak perlu takut atau bimbang," katanya.

Dr Lela berkata, orang ramai yang berminat untuk melakukan pendermaan organ boleh mendaftar di hospital kerajaan atau swasta dan menerusi klinik-klinik kesihatan atau mendaftar di facebook di www.facebook.com/agiftolife.

Sementara itu bagi penerima organ buah pinggang Shazwani Alias, 23, berkata kehidupannya kini semakin berubah selepas menjalani pemindahan buah pinggang pada 2004.

"Saya mengidap penyakit ini ketika berumur 10 tahun. Alhamdulilah kini saya mampu menjalani kehidupan seperti biasa, jika dulu saya seorang yang tidak aktif dan mudah lesu segala aktiviti sosial saya terhad," katanya.

Bagi Tan Gee Koon, 41, seorang suri rumah berkata penyakit jantung yang dialaminya menyedarkan beliau kepentingan menderma organ khususnya kepada golongan yang memerlukan.

"Dua tahun saya mengidap penyakit ini, bila kita berada dalam situasi itu baru kita sedar menderma organ ini penting kerana ia memberi peluang kedua untuk hidup.

Sebelum ini saya takut tentang pendermaan organ, tetapi bila ada orang lain sudi dermakan organ pada saya, ini membuatkan saya sendiri ingin mendermakan organ juga," katanya.

Majlis itu dihadiri 50 keluarga penderma dan penerima organ.-BERNAMA

Artikel Lain