suria

Jemaah Haji Diingat Disiplinkan Diri Jaga Kesihatan

MEKAH: Jemaah haji Malaysia diingat supaya mendisiplinkan diri menjaga kesihatan berikutan cuaca yang terlampau panas di Mekah sehingga mencecah 45 darjah Celsius.

Pakar Perunding Kanan Respiratori Prof Bersekutu Datuk Dr Abdul Razak Muttalif menasihatkan jemaah terutama warga emas dan yang uzur supaya mengurangkan aktiviti luar, tidak terlalu mendedahkan diri kepada kepada cuaca dan banyak minum air.

"Jika perkara ini diamalkan sebaik tiba di tanah suci, mereka boleh terhindar daripada risiko mendapat penyakit," katanya kepada pasukan media Lembaga Tabung Haji (TH) yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah di Hospital Aziziah di sini, Sabtu.

Menurut laporan Perkhidmatan Kaji Cuaca Arab Saudi, cuaca di Mekah hari ini mencecah 41 darjah Celsius dan ada kalanya mencecah 45 darjah Celsius.

Dr Abdul Razak yang juga Ketua Jabatan Respiratori Hospital Pulau Pinang berkata dalam cuaca panas jemaah haji mudah mendapat penyakit antaranya batuk, demam, selsema dan jangkitan paru-paru.

"Bagi penghidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan jantung, risiko dijangkiti penyakit ini lebih tinggi dan komplikasinya lebih serius. Jadi eloklah patuh dan ikut nasihat pihak TH dari masa ke semasa," katanya.

Lebih 6,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Makkatul Mukarramah sejak ketibaan rombongan pertama 18 Okt lepas. Seramai 26,000 jemaah Malaysia dijangka menunaikan rukun Islam kelima itu musim ini.-BERNAMA

Artikel Lain