suria

Enam Ditahan Kes Samun Empat Jentolak

KUALA LUMPUR: Enam lelaki ditahan dalam serbuan berasingan di Kajang, Cheras, Semenyih dan Taman Damai berhubung kes samun empat jentolak pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, kejadian samun pada pukul 3 pagi itu berlaku di sebuah syarikat pembinaan di Bukit Damansara apabila antara tujuh dan lapan lelaki memasuki stor yang dijaga seorang warga Bangladesh.

"Penjaga stor itu kemudian diikat kedua-dua tangannya sebelum kesemua suspek melarikan empat buah jentolak itu yang bernilai RM600,000," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan kesemua suspek terbabit yang berumur 22 dan 51 di rumah mereka masing-masing.

Hasil penahanan kesemua suspek itu, polis telah menemui dua daripada empat jentera itu di hadapan rumah seorang daripada mereka. - BERNAMA

Artikel Lain