suria

Umno Perlu Serius Dekati Golongan Muda

KUALA LUMPUR: Wakil Kelab Umno meminta kepimpinan supaya lebih serius mendorong dan mendekati golongan muda untuk terus menyokong Umno terutamanya yang sedang menuntut di luar negara.

Ketua Kelab Umno Indonesia, Mohd Rizal Abd Rahman berkata, parti perlu memperbanyakkan penerangan mengenai objektif, misi dan visi parti dengan lebih jelas kepada golongan itu.

Katanya, penyebaran maklumat yang jelas adalah penting kerana pihak pembangkang sentiasa mencari peluang untuk mempengaruhi pemikiran penuntut diluar negara dengan agenda jahat mereka.

"Pihak pembangkang semakin giat datang ke luar negara untuk mempengaruhi penuntut di luar negara bagi meraih simpati," katanya ketika berucap membahaskan usul Presiden parti pada Perhimpunan Agung Umno di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Rizal turut memuji usaha Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa mengemaskini akaun laman sosial Facebook dan Twitter dengan pelbagai maklumat berguna untuk manfaat semua golongan masyarakat terutamanya pelajar yang berada di luar negara.

"Di sana maklumat mengenai parti adalah terhad, dan usaha Presiden sentiasa mengemaskini laman Facebook dan Twitter memberi peluang kepada semua penuntut di luar negara mengetahui perkembangan negara dengan mudah dan cepat.

"Tambahan pula boleh dikatakan semua golongan mempunyai akaun laman sosial itu," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rizal turut mengusulkan kepada kerajaan supaya melebihkan usaha membawa pulang semua golongan profesional yang bekerja di luar negara.

Katanya, adalah menjadi kerugiaan semua kepakaran rakyat negara ini tidak disalurkan untuk pembangunan negara sendiri.

"Banyak golongan profesional rakyat negara ini berada di luar negara dan adalah menjadi kerugiaan mereka memajukan negara luar berbanding negara sendiri," katanya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain