suria

Pendekatan Sederhana, Adil Majukan Negara

KUALA LUMPUR: Kejayaan yang dicapai oleh Malaysia merupakan usaha dan pendekatan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa sederhana serta bertimbang rasa kepada semua pihak.

Wakil Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, Umno akan terus menghormati dan sentiasa bersikap adil terhadap kaum-kaum lain supaya dapat meyakinkan pelabur dan mewujudkan iklim jaminan keselamatan pelaburan mereka sepanjang berada di Malaysia.

“Mereka (pelabur) akan terus bersama kita selagi negara kita aman damai, diiringi kestabilan politik dan ekonomi secara berpanjangan, sebab itulah kita mesti menolak pelampau dan ekstremis daripada mengancam keselamatan negara.

“Selain itu, kita mesti menolak pendekatan sempit, politik perkauman dan penggunaan agama untuk kepentingan politik kumpulan serta menolak pihak yang menghalalkan perpecahan sesama Islam serta mereka yang mengagung-agungkan pemimpin bukan Islam dengan memberi gelaran tokoh Islam yang mulia,” katanya ketika mencadangkan usul ekonomi pada Persidangan Agung Umno ke-61 di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Awang Adek yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Umno menegaskan, penetapan kuota ekonomi sebanyak 30 peratus untuk bumiputera bukanlah mengambil hak orang lain tetapi ia adalah untuk mengagihkan kekayaan negara secara samarata antara kaum-kaum di negara ini.

Ujarnya, sebelum ini syarikat bukan bumiputera yang hendak disenaraikan dalam bursa saham perlu terlebih dahulu menjual 30 peratus saham mereka kepada bumiputera tetapi dasar tersebut sudah tidak digunakan lagi pada hari ini.

Menurutnya, golongan bukan bumiputera sepatutnya menerima penetapan ekuiti 30 peratus ekonomi untuk bumiputera sama seperti bumiputera menerima kuota kawasan pilihanraya untuk parti-parti bukan bumiputera.

“Wahai rakan-rakan, janganlah terlalu memilih, menerima baik kuota politik yang menguntungkan mereka tetapi menolak kuota ekonomi untuk kita, kita mesti berlaku adil untuk semua sepanjang masa.

“Kita tidak boleh memilih untuk berkawan semasa kita kuat dan senang, dan meninggalkan kawan apabila kita tertekan, apatah lagi bila kita diuji dengan sedikit kesusahan, biarlah kita menjadi kawan yang setia dan sejati, sehidup dan semati,” ujarnya.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan turut menegaskan rakyat Malaysia pada hari ini perlulah menolak pemimpin yang sentiasa merasakan dirinya betul dan menolak pandangan orang lain dan juga pemimpin yang tidak berbangga menjadi Melayu.

“Kita tidak perlu pemimpin yang sombong dan angkuh seperti ini, bangsa kita tidak akan rugi sedikitpun tanpa orang seperti ini,” katanya.

Usul ekonomi kali ini mengutarakan pentingnya mempertingkatkan ekonomi Melayu dan bumiputera untuk bersaing pada masa depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain