suria

Lelaki Terbunuh Dalam Kejadian Pergaduhan

IPOH: Seorang lelaki terbunuh selepas diserang sekumpulan lelaki dalam satu pergaduhan di Taman Klebang Ria, di sini malam tadi.

Mangsa Abdul Rasid Ramesh Abdullah, 31, yang mengalami kecederaan parah di badan meninggal dunia sejurus selepas menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 12.05 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata mangsa yang tinggal di Taman Klebang, Chemur dikatakan terlibat dalam satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan di taman berkenaan pada 11 malam.

Pihak polis yang menerima laporan daripada orang awam berhubung kes pergaduhan itu, bagaimanapun gagal menemui mereka kerana telah menghilangkan diri, katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Azisman berkata polis dimaklumkan mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan meninggal dunia ketika dalam rawatan.

Motif kejadian dan punca kematian masih belum diketahui dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat hospital, katanya.

Setakat ini polis belum membuat sebarang tangkapan dan sedang menyiasat kejadian tersebut dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Kes tersebut di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, seorang pelajar terbunuh selepas di hempap lori membawa muatan ayam di simpang empat lampu Isyarat Jalan Kuala Lumpur-Bidor malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Roslan Bek Ahmad berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 11.54 malam tadi Mohamad Azmin Abdul Rahim, 17, berasal dari Bidor.

Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Bidor untuk bedah siasat, katanya.

Ketika kejadian mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sheikh Abdul Ghani, Bidor dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila motosikal yang ditunggangnya berhenti di lampu isyarat warna merah simpang empat.

Pada masa sama, sebuah lori yang mengekorinya dari belakang kemudian menghempapnya selepas lori berkenaan dikatakan dirempuh dari belakang oleh sebuah treler.

Pemandu lori dan treler hanya cedera ringan dan polis menahan mereka untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin, katanya.

Sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah lori berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain