suria

Kastam Selangor Rampas 532 Tayar Lori Pasaran Gelap

PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor merampas 532 biji tayar lori bernilai RM317,642 termasuk cukai dipercayai untuk dijual di pasaran gelap di negara ini.

Penolong Ketua Pengarah KDRM Bahagian Penguatkuasaan Datuk Ismail Ibrahim berkata rampasan itu dilakukan secara berasingan terhadap dua lori kontena di Puchong dan Kajang, Rabu.

Beliau berkata pihaknya turut menahan 12 orang dipercayai terlibat dengan sindiket tersebut.

Mengulas operasi tersebut kepada pemberita di sini Jumaat, Ismail berkata pihaknya mengekori dua buah lori kontena tersebut yang sebelum itu keluar dari Gudang Berlesen Awam (GBA) di Bandar Sultan Sulaiman di sini.

"Dalam kedua-dua operasi itu, anggota penguatkuasa KDRM Selangor mengekori kedua-dua lori kontena itu yang memulakan perjalanan dari GBA, masing-masing pada pukul 5.30 petang dan 6 petang dengan membawa muatan tayar lori baru bersama borang kastam untuk tujuan eksport ke Thailand," katanya.

Ismail berkata dalam serbuan pertama di Puchong, anggota penguatkuasa KDRM mengekori lori kontena itu hampir dua jam sebelum ia berhenti di sebuah premis di kawasan perindustrian Bandar Bukit Puchong. "Sebaik berhenti, pihak kami mendapati sekumpulan lelaki memulakan kerja-kerja memunggah muatan iaitu 260 biji tayar lori baru," katanya.

Dalam serbuan kedua pula, kata beliau pasukan KDRM mengekori lori tersebut selama enam jam sebelum berhenti di kawasan perindustrian Sungai Chua, Kajang. Hasil intipan mendapati sekumpulan lelaki sedang memindahkan 272 biji tayar lori baru itu ke sebuah premis tidak bertanda, kata Ismail.

Beliau berkata pihaknya kini menjalankan siasatan bagi mengesan anggota sindiket itu yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 (Semakan 1980) iaitu mengelak apa-apa duti Kastam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain