suria

Jangan Perlekeh Peranan Puteri

KUALA LUMPUR: Wakil Pergerakan Puteri Umno mahu sayap itu tidak hanya dikritik sebaliknya ahli-ahli parti perlu menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang turut berjuang dalam melaksanakan perjuangan parti.

Ketua Puteri Bahagian Ledang, Fahariyah Md Nordin berkata, sayap itu sedar bahawa mereka bertanggungjawab menarik sokongan golongan muda supaya kembali menyokong Umno. .

“Puteri Umno mahu berjuang dan bergerak sejajar dengan usia muda kami. Berilah sokongan kepada kami demi memastikan Umno kekal relevan.

“Janganlah kami hanya dikritik sedangkan segala usaha, tenaga dan usia muda telah kami korbankan untuk Umno, seolah-olah tidak dihargai dan dipandang remeh. Janganlah hanya nila setitik, susu sebelanga habis dibuang,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di sini, Jumaat.

Bagaimanapun Fahariyah berkata, usaha untuk menarik kembali sokongan generasi muda tidak akan berhasil tanpa kerjasama daripada sayap-sayap Umno yang lain.

“Dalam menghadapi kecelaruan pemikiran generasi muda ini, Puteri Umno amat memerlukan sokongan dan kerjasama dari semua sayap Umno.

“Kita perlu bersama-sama membawa generasi muda kembali kepada landasan sebenar supaya mereka tidak menyimpang dan menganuti kefahaman politik yang boleh menyesatkan bangsa,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, Puteri berikrar akan berjuang bersama-sama Umno untuk meletakkan parti itu terus menjadi wadah utama pembela bangsa dan rakyat.

Justeru, Fahariyah yang juga Exco Puteri Umno berkata, generasi muda pada hari ini perlu disedarkan mengenai sejarah kenegaraan supaya mereka tahu mengapa kemakmuran yang dinikmati perlu dipelihara.

“Jangan kita mengambil sikap ‘lepas tangan’ atau ‘cuci tangan’ dengan memberi alasan generasi muda enggan menerima pendirian yang telah dibuat oleh nenek moyang mereka.

“Demi masa depan anak-anak bangsa pelbagai kaum, Puteri Umno mencadangkan agar mata pelajaran sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus di sekolah,” katanya.

Jelasnya, sejarah merupakan menjadi guru terbaik dalam pembentukan kehidupan masa depan kerana di dalamnya terkandung iktibar serta pengajaran. --

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain