suria

Culik: Tujuh Dihukum Penjara

SHAH ALAM: Tujuh lelaki diarahkan menjalani hukuman penjara selepas mengaku bersalah menculik seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dengan niat mahu mengurung secara salah untuk mendapatkan tebusan RM1 juta, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Asmabi Mohamad pada Jumaat, memerintahkan N. Arumugam, 43, R.Chandran, 24, K.Thianagaran, 26, K.Magindran, 28, dan R.Parameswaran, 27, dihukum penjara selama lima tahun.

Dua lagi yang merupakan pesalah muda, iaitu G.Thiagarajan, 20, M.Prabu, 21, diarahkan menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi kesalahan tersebut.

Semua hukuman diarahkan bermula daripada tarikh semua tertuduh ditangkap, iaitu antara 20 dan 22 April 2009.

Semua tertuduh mengaku salah atas pertuduhan pilihan menculik mangsa pada pukul 8.20 pagi, 10 April 2009, di hadapan sebuah pusat tuisyen yang terletak di Bandar Utama, Damansara, dekat sini.

Pertuduhan pilihan itu ditawarkan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria mengendalikan pendakwaan manakala barisan pembelaan dibarisi peguam-peguam S.Sundarajan, James George, P.Vijian, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Amirul Ridzuan Hanif.

Pada usaha mengurangkan hukuman, peguam memohon mahkamah mempertimbangkan faktor bahawa tertuduh terjebak dalam jenayah itu kerana faktor kemiskinan, seperti Parameswaran yang berhutang dengan lintah darat.

Turut dinyatakan, semua tertuduh berasal dari latar belakang yang susah dan bekerja sebagai kelindan lori, buruh am dan juga penoreh getah.

Bagaimanapun, Asmabi pada penghakimannya berkata, kemiskinan bukanlah faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah, memandangkan terdapat banyak lagi kerja halal yang boleh dilakukan oleh tertuduh.

“Kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah amat serius. Memang benar mangsa tidak dicederakan, tetapi bayangkan penyeksaan yang dialami oleh ibu bapa mangsa.

“Kita kalau anak hilang sekejap pun sudah gelisah, apatah lagi jika hilang selama dua atau tiga hari. Mangsa juga hanya dilepaskan selepas tebusan dibayar. Bayangkan apa yang akan berlaku jika ia tidak dibayar,” kata Asmabi.

Fakta kes yang diakui tertuduh menyatakan, mangsa diculik semasa berada di dalam kereta bersama ibunya di hadapan pusat tuisyen terbabit oleh empat tertuduh yang bersenjatakan parang.

Mangsa ditarik masuk ke dalam kereta milik tunang Thianagaran yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, dan setengah jam selepas itu ibu mangsa menerima panggilan telefon daripada Arumugam yang meminta tebusan RM1 juta.

Kanak-kanak malang itu hanya dilepaskan lima hari kemudian selepas bapanya membayar tebusan, yang diletakkan di Tol Sungai Buloh, dekat sini.

Siasatan polis mendapati Arumugam dan Parameswaran merupakan perancang utama jenayah itu, manakala tertuduh lain memainkan peranan semasa kejadian culik, menjaga mangsa dan mengambil wang tebusan.

Penyiasatan yang dilakukan juga dapat menjumpai kembali sebahagian kecil wang tebusan pada Arumugam manakala Chandran telah menunjukkan dua bilah parang sepanjang 74 dan 79 sentimenter di sebuah rumah di Taman Hijau, Rawang, dekat sini yang menjadi lokasi mangsa dikurung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain