suria

Biro Penerangan Dan Program Juara Rakyat Jelas Amanat Presiden Kepada Akar Umbi

KUALA LUMPUR: Amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2010 akan disalurkan ke peringkat akar umbi menerusi program Juara Rakyat dan gerak kerja biro penerangan parti, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia akan memberi peluang kepada anggota Umno yang tidak menghadiri Perhimpunan Agung 2010 untuk mendapat gambaran sebenar intipati amanat Perdana Menteri yang merujuk kepada hak orang Melayu dan Perlembagaan.

"Kita akan turun ke bawah bukan sekadar di peringkat negeri tetapi melata di peringkat bahagian di mana pemimpin-pemimpin cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri akan dibawa untuk datang mendengar ceramah itu bagi memperoleh penjelasan terhadap apa yang dilontarkan oleh Presiden," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi perbahasan ucapan dasar presiden dan usul ekonomi di Perhimpunan Agung Umno di sini, Jumaat.

Pada Khamis, Najib semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya dan "terkunci kemas" dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata gerak kerja itu akan dimulakan sejurus selepas berakhir pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri Galas, 4 November ini.

Beliau berkata selain anggota Umno, program ceramah itu juga akan ditumpukan kepada bukan Melayu yang juga kumpulan sasaran pengundi.

"Pengundi bukan Melayu nampaknya jelas, selepas ucapan Presiden mereka mula memberikan reaksi yang positif terhadap keterbukaan dan keterangkuman," katanya.

"Kepimpinan Najib boleh diberikan kepercayaan sepenuhnya kerana agenda beliau bukan hanya untuk orang bukan Melayu tetapi untuk rakyat Malaysia keseluruhannya, dan kepentingan orang Melayu turut diambil kira di samping peranan dan agenda orang Melayu itu sendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain