suria

Bekas Guru Swasta Diperintah Bela Diri Kes Rogol Bawah Umur

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas guru sekolah rendah swasta dalam dua tuduhan merogol seorang budak perempuan warga Singapura berusia 11 tahun, ketika itu pelajarnya. Hakim Duncan Sikodol bagaimanapun menolak satu lagi tuduhan rogol dan dua tuduhan seks oral dan sodomi terhadap Adrian Simon, 31.

Dalam keputusannya, Sikodol, yang mengambil perhatian daripada bukti mangsa bahawa dia meminati tertuduh, berkata antara lain, bahawa pendakwaan telah membuktikan berlaku penetrasi dan mangsa di bawah umur, oleh itu sebarang persetujuan tidak relevan. Perbicaraan ditetapkan pada 3 November, dan pihak pembela akan memanggil empat saksi termasuk tertuduh.

Adrian tetap menghadapi tuduhan pertama (tuduhan pindaan) merogol budak perempuan itu di stor makmal sains sebuah sekolah rendah swasta dekat sini antara Februari dan Mac, 2010, antara 2.10 ptg dan 3.30 petang.

Atas tuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan serupa di tempat sama pada 26 Mac, pukul 10.25 pagi.

Jika didapati bersalah, Adrian boleh dihukum penjara antara lima dan 30 tahun, dan disebat atas tiap sabitan, kerana melakukan rogol bawah umur di bawah Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan.

Tertuduh diwakili oleh peguam bela Hairul V. Othman sementara pihak pendakwaan oleh timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah dan Luke Ressa Balang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain