suria

Rais Jelaskan Kenapa Beliau Buat Laporan Polis Ke Atas Rocky's Bru

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, tindakannya membuat laporan polis terhadap seorang penulis blog adalah bertepatan dengan haknya sebagai individu negara ini.

Katanya, tindakan itu wajar mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapat perlindungan setelah namanya tercemar berikutan laporan di dalam blog berkenaan.

"Saya mempunyai hak sendiri sebagai individu, kita harus menghormati undang-undang sedangkan hari ini pun PM (Perdana Menteri) cakap kena hormat undang-undang. Jadi setiap individu perlu menghormati undang-undang yang ada di negara kita.

"Saya tidak ada melibatkan sesiapa. Barang siapa yang mencemarkan dan memburukkan sesiapa, waima, beliau seorang penulis blog ataupun seorang kerani, kita mempunyai hak masing-masing, jadi ini yang saya tegaskan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Pada 12 Oktober lalu, Dr Rais membuat laporan polis terhadap Rocky's Bru atau nama sebenarnya Datuk Ahirudin Atan yang di dalam blognya mendakwa kononnya anak lelaki menteri itu mempunyai kepentingan dalam kementerian itu dengan memperoleh geran RM1 bilion bagi menaik taraf akses jalur lebar di seluruh negara.

Dr Rais berkata, semua pihak sewajarnya menghormati peraturan dan undang-undang negara yang dibuat untuk melindungi rakyat semua peringkat.

"Misalnya, kalau kita takut kepada mengimplikasi undang-undang yang kita cipta, ini bukan satu keadaan yang positif, ini negatif. Jadi apa kita jadikan undang-undang, kita perlu ikut dan jadikan azimat perjuangan kita.

"Saya tergolong kepada orang seperti itu, jadi saya tidak menakuti mana-mana komen tapi kalau melanggar hak saya sebagai individu, saya perlu mengambil lindungan di bawah undang-undang negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain