suria

Persidangan Antarabangsa Bincang Isu Keluarga Tiri

Profesor Datin Paduka Jamilah Ariffin
Profesor Datin Paduka Jamilah Ariffin
Profesor Datin Paduka Jamilah Ariffin

KUALA LUMPUR: Forum Antarabangsa Keluarga Asia Pasifik yang akan membincangkan topik berkaitan Keluarga Gabungan dan Keluarga Tiri: Kepelbagaian dan Cabaran bakal diadakan buat julung-julung kalinya di sini mulai 1 hingga 3 November ini.

Persidangan anjuran Forum Keluarga Asia Pasifik (APFAM) Malaysia itu membabitkan usahasama antara Lembaga Pendudukan dan Pembangunan Keluarga Negara, Yayasan Pembangunan Keluarga Johor dan Universiti La Trobe, Melbourne Australia.

Presidennya, Profesor Datin Paduka Jamilah Ariffin berkata, persidangan itu bertujuan mengupas fenomena keluarga gabungan atau lebih dikenali sebagai ‘keluarga tiri’ yang semakin meluas dipraktikkan di negara ini.

“Di Malaysia, masih belum ada kajian terperinci mengenai topik khusus ini. Dengan mengambil kira kadar penceraian dan perkahwinan semula yang semakin meningkat, kami merasakan ini peluang terbaik untuk membincangkannya.

“Terdapat ramai pakar mengenai penceraian tetapi bilangan pihak yang berani tampil dan membincangkan isu keluarga gabungan atau tiri ini masih terlalu rendah,” katanya yang juga Profesor Adjung Universiti La Trobe kepada mStar di sini, Khamis.

Persidangan selama tiga hari itu bakal berlangsung di Hotel Crowne Plaza Mutiara dan akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Barisan panel penceramah terdiri daripada Prof Jamilah sendiri selain Perunding Perhubungan Keluarga Australia, Franco Urlini; wakil Mahkamah Keluarga Australia, Diane Gibson dan ahli akademik La Trobe.

Menurut Prof Jamilah, trend keluarga gabungan merupakan kesan akibat pemodenan gaya hidup masyarakat secara umum, tidak terkecuali kelompok pendatang asing yang berhijrah dan meninggalkan keluarga masing-masing di negara asal.

Jelasnya, memandangkan perkembangan itu, beberapa pindaan perundangan atau polisi baru harus dikaji dalam usaha memastikan survival institusi kekeluargaan utuh meskipun berdepan cabaran baru.

Justeru, katanya, forum berkenaan diharapkan dapat meneliti semula dasar-dasar sedia ada selain membandingkan hasil kajian daripada para peserta terutama mengenai kesan keluarga gabungan terhadap anak-anak.

“Persidangan ini boleh dimanfaatkan semua lapisan masyarakat khasnya para penyelidik, penggubal dasar, pihak media dan sesiapa sahaja yang menitik beratkan kesejahteraan keluarga mereka,” ujarnya lagi.

Penyertaan terbuka kepada umum dengan yuran RM100 untuk ahli APFAM, RM120 (bukan ahli), RM50 untuk para pelajar dan RM200 ke bawah untuk mana-mana organisasi yang ingin menghantar peserta.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Sulaiha di talian 07-2244148, 012-7406332, faks 07-2230867 atau emel kepada [email protected] sebelum 26 Oktober ini untuk mengesahkan penyertaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain