suria

Penubuhan Majlis Konsultansi Gaji Awal 2011

KUALA LUMPUR: Majlis Konsultasi Gaji akan ditubuhkan selewat-lewatnya pada Januari tahun depan untuk menentukan kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum sebagai langkah untuk meningkatkan produktiviti pekerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata penubuhan majlis ini penting bagi mencari kaedah yang paling sesuai dalam menentukan gaji minimum yang sepatutnya diberikan kepada para pekerja di negara ini.

"Isu gaji minimum ini telah lama wujud. Ia sangat rumit dan memerlukan masa dan kajian yang teliti. Kita perlu mendapatkan maklum balas daripada semua pihak termasuk majikan, persatuan pekerja dan badan bukan kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan," katanya selepas menyampaikan ucapan pada majlis makan tengah hari bersama Ketua-ketua Pegawai Eksekutif anjuran Institut Pengurusan Malaysia, hari ini.

"Banyak negara luar yang telah buat, dan kitapun akan berbuat demikian untuk memberi lebih motivasi kepada para pekerja," kata Nor Mohamed.

Cadangan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji ini diumumkan dalam pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini sebagai satu platform penetapan gaji dan pengenalan gaji minimum. Ia akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, akademik, badan bukan kerajaan dan individu.

Sekretariat majlis ini ialah Kementerian Sumber Manusia.

Mengenai penubuhan Talent Corporation (Talent Corp), Nor Mohamed menegaskan bahawa tujuan utamanya bukan sahaja untuk menarik semula rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi dan tinggal di luar negara untuk kembali ke Malaysia.

Penubuhan Talent Corp ini juga bagi mewujudkan persekitaran yang baik dan selesa kepada para pekerja tempatan yang berkemahiran tinggi untuk terus tinggal di negara ini, katanya.

"Kita juga perlu memastikan keselesaan dan menjamin masa depan pekerja luar yang mahir terus menetap dan berbakti kepada negara ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain