suria

Pengawal Keselamatan Parah Terkena Tembakan Senapang Rakan

KANGAR: Seorang pengawal keselamatan cedera parah akibat terkena 11 butir peluru penabur senapang patah rakan setugasnya yang dikatakan meletup secara tidak sengaja di sini, Khamis.

Zakaria Mat, 57, cedera di bahagian perut dan pinggang dalam kejadian tengah hari tadi.

Ketika itu mangsa sedang berada di dalam sebuah van milik sebuah syarikat keselamatan yang sedang menuju ke sebuah bank di bandar Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata mangsa dikatakan ingin melihat senapang patah rakannya itu.

Tetapi apabila rakannya yang berumur 50 tahun itu menghulurkan senjata tersebut, ia tiba-tiba meletup, katanya.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah dengan van tersebut.

Menurut Abdul Rahman, mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.

Rakannya itu yang telah dua tahun berkhidmat dengan syarikat keselamatan berkenaan telah membuat laporan polis yang kemudiannya dia ditahan bersama senjatanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 kerana melepas tembakan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali ke atas pelakunya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain