suria

Orang Ramai Dinasihat Kurangkan Aktiviti Luar Ketika Jerebu

KUALA LUMPUR: Orang ramai di kawasan yang dilanda jerebu terutamanya di Muar, Johor dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah dalam usaha mencegah kemudaratan akibat kualiti udara tidak sihat itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata selain itu, mereka juga boleh mengambil langkah pencegahan lain seperti sentiasa berada di dalam bangunan dan memakai penutup hidung dan mulut yang bersesuaian sekiranya berada di luar.

"Pastikan udara di dalam rumah dan bangunan sentiasa bersih, kurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok dan apabila memandu, gunakan pendingin hawa selain pilih operasi kitaran udara dalaman," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan pihak pentadbiran sekolah di Muar menutup sementara sesi persekolahan berikutan keadaan jerebu yang berada pada tahap bahaya di daerah itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat berkata langkah itu perlu bagi mengelakkan situasi jerebu yang berlaku memberi kesan buruk kepada kesihatan pelajar. Liow turut menasihatkan orang ramai supaya banyak minum air kosong dengan sekurang-kurangnya lapan gelas sehari di samping membasuh tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan serta menghadiri aktiviti luar.

Selain itu, beliau meminta mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik supaya segera ke klinik sekiranya keadaan bertambah teruk.

Orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu di laman web, http://www.infosihat.gov.my.

Sementara itu, di Putrajaya, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di 51 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara mencatatkan 31 kawasan berada pada tahap baik dan 21 kawasan berada pada tahap sederhana berdasarkan bacaan yang direkodkan 7 pagi tadi.

Bacaan IPU di daerah Muar, Johor mencatatkan penurunan kepada tahap 90 berbanding semalam mencecah tahap 432 iaitu dalam kategori bahaya.

Di JOHOR BAHARU, seramai 80,282 murid membabitkan 204 buah sekolah rendah dan menengah di Muar yang dinasihatkan cuti ekoran kejadian jerebu dibenarkan kembali bersekolah seperti biasa esok, sekiranya keadaan semakin pulih.

Pengarah Pelajaran Johor Sufaat Tumin berkata berdasarkan kadar IPU yang menurun tengah hari tadi, pihaknya yakin proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak dapat dijalankan hari ini boleh diteruskan semula seperti biasa esok.

"Cuti yang dinasihatkan kepada murid hari ini tidak menjejaskan pembelajaran mereka. Jabatan Pelajaran Johor akan memikirkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan kelas ganti sebagai gantian kepada cuti yang dinasihatkan hari ini," katanya kepada pemberita, di pejabatnya, di sini, Khamis.

Beliau berkata Pengetua dan Guru Besar diminta menggunakan kreativiti mereka dalam meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran esok bagi memastikan pelajar tidak terdedah kepada pencemaran.

Katanya arahan sudah dikeluarkan kepada semua Pengetua dan Guru Besar yang terlibat supaya tidak menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di luar bangunan.

Menurut Sufaat, peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Muar diteruskan hari ini dengan seramai 44 calon di Sekolah Menengah Agama (SMA) Lughatul Quran, Kesang Tasek, menduduki peperiksaan tersebut.

"Di Johor hanya ada satu pusat STAM iaitu di SMA Lughatul Quran. Kesemua 44 calon itu sudah dibekalkan dengan topeng penutup mulut dan hidung bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan," katanya.

Beliau berkata pihaknya sehingga kini belum menerima sebarang laporan membabitkan masalah kesihatan di kalangan murid akibat kejadian jerebu tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain