suria

Kes AminulRasyid: Parang Masih Misteri

SHAH ALAM: Persoalan mengenai parang panjang yang ditemui di dalam kereta Proton Iswara Aeroback putih yang didakwa dipandu oleh seorang remaja, AminulRasyid pada malam dia mati ditembak April lalu, masih belum terjawab.

Parang itu ditemui oleh polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid, 15.

Berdasarkan keterangan tiga saksi di Mahkamah Sesyen di sini Khamis, semua mereka yang merupakan pemilik dan pengguna kereta tersebut menafikan ada meletakkan parang di dalam kereta yang bernombor pendaftaran BET 5023.

Mereka ialah kakak AminulRasyid, Tuty Shaninza Anom, 36, suami dan bapa mertuanya, Muzafar Mahali, 36, dan Mahali Ramlan, 69.

Keterangan Tuty mengatakan, kereta yang dibeli atas nama Mahali hanya berisi barangan anak seperti bantal, anak patung dan kasut memandangkan kereta tersebut digunakan untuk menghantar anak ke sekolah.

Mahali, seorang pesara kerajaan pula memberitahu, kereta itu dibeli daripada penjual kereta terpakai pada 2006 dan selepas beberapa bulan, diberikan kepada Tuty yang semasa itu berulang jauh ke Ampang, Kuala Lumpur untuk bekerja.

Semasa ditunjukkan parang, Mahali berkata: “Saya tak tahu. Ini bukan parang saya. Saya pun ada parang di rumah. Tapi, ini bukan parang saya.”

Mahali, saksi pendakwaan ke-21 menambah, parang tidak diletakkan dalam kereta tersebut kerana kereta itu hanya digunakan di kawasan pekan.

Sementara itu, Muzafar, 36, seorang pengurus operasi pula sangat pasti bahawa senjata tersebut tidak pernah berada di dalam kereta yang menggunakan gear automatik sebelum kejadian berlaku.

“Saya tidak pernah lihat parang. Parang tidak pernah pada bila-bila masa diletakkan di dalam kereta,” katanya yang turut mengesahkan keterangan Tuty bahawa AminulRasyid tidak tahu memandu.

Keterangan lain, Tuty memberitahu, dia telah menunaikan permintaan terakhir AminulRasyid yang meminta nasi goreng semasa dia membawa anak-anak ke rumah emaknya pada waktu maghrib, 25 April lalu.

“Apabila saya sampai, arwah berada di meja makan utama sedang menyiapkan kerja sekolah. Dia minta saya masakkan nasi goreng. Saya masakkan dan makan bersama arwah, emak dan anak-anak saya.

“Selepas makan, saya mengemas meja makan. Arwah masih menyiapkan kerja sekolah dan saya terus tidur hingga saya menerima panggilan telefon antara pukul 3 dan 3.30 pagi,” katanya.

Panggilan telefon itu, menurut saksi pendakwaam ke-20 dibuat oleh Muzafar (saksi pendakwaan ke-22) yang mengarahkannya memastikan sama ada kereta masih berada di tempat letak kereta.

Katanya lagi, kereta itu tiada, begitu juga kunci yang diletakkan di belakang pintu masuk. Semasa itu, AminulRasyid juga tidak kelihatan di kawasan rumah.

“Saya keluar ke pintu pagar dan lihat ada kereta peronda di hujung jalan masuk. Saya terus keluar dan bertanyakan kepada polis, siapa yang memandu dan di mana orang itu, tetapi polis tidak mahu beritahu,” katanya.

Sehubungan itu, saksi pulang semula ke rumah dan cuba menghubungi telefon bimbit AminulRasyid, tetapi tidak bersambung. Perkara sama juga berlaku apabila dia cuba menghubungi rakan-rakan remaja itu.

Tuty menambah, dia dapat melihat dengan jelas keadaan kereta pada waktu pagi di mana, kereta itu remuk di depan, kesan darah di tempat duduk pemandu dan penumpang serta mempunyai kesan tembakan di belakang.

Seterusnya Tuty memberitahu, dia telah ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, selepas dimaklumkan bahawa ibunya, Norsiah Mohamad bersama dua kakak dan adik berada di situ untuk membuat pengecaman mayat.

Pengecaman mayat dibuat pada pukul 3 petang, hari yang sama.

Tuty juga dilihat mengesat air mata selepas beberapa minit merenung gambar AminulRasyid, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen Sembilan, di sini, yang ditunjukkan kepadanya.

Ditanya mengenai prestasi AminulRasyid, saksi memberitahu, adiknya sangat aktif bersukan dan akan ke padang setiap petang selepas pukul 5 petang untuk bermain bola.

“Arwah bijak dan kalau anak saya datang ke rumah, dia akan mengajar matematik. Dia juga tidak pernah melawan cakap. Ke mana pergi, dia akan minta emak untuk hantar dan bila habis, akan telefon untuk dijemput,” tambahnya.

Dia juga memberitahu, AminulRasyid, anak bongsu daripada lapan beradik manja dengan emak dan akan pulang ke rumah sebelum pukul 12 tengah malam, jika keluar bersama rakan untuk menonton perlawanan bola sepak di kedai mamak berhampiran.

“Setahu saya, arwah tidak pernah belajar atau dilihat memandu kereta,” katanya yang mengakui pernah mendengar nama Muhammad Azamuddin Omar, iaitu remaja yang didakwa berada di dalam kereta pada kejadian itu.

Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 42, sedang dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, antara pukul 1.10 dan 2 pagi, Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini.

Jenain dari cawangan kereta peronda kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 30 tahun, jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Moktar, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Ahmad manakala barisan pembelaan diwakili peguam-peguam M.Athimulan, Salim Bashir, Halim Ashgar dan K.Rajoo.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tohar bersambung Khamis hadapan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain