suria

Bekas Pengurus Jualan Kereta Didakwa Beri Rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus jualan kereta import mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis, atas tuduhan memberi suapan RM29,850 kepada seorang penguasa kastam, dua tahun lepas.

Bharim Thani, 39, yang kini bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat kawalan keselamatan, didakwa memberi suapan itu kepada Mohd Yusmi Mohd Yusoff, 45, dari Pejabat Kastam Diraja Malaysia Bahagian Sibu, Sarawak.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana tidak membayar cukai kastam bagi kenderaan jenis BMW 320i yang didaftarkan atas nama Thani Atan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel Grand Seasons, No 72 Jalan Pahang di sini pada 2.50 petang, 6 September 2008.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 November depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Sophian Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Adi Harman Mawardi.

Isterinya membayar wang jaminan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain