suria

Umno Parti Berasaskan Kaum Yang Tidak Rasis - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Perjuangan Umno tidak bertunjangkan politik perkauman atau rasis walaupun ia adalah parti politik berasaskan kaum.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Umno sejak dari awal lagi telah memilih landasan perjuangan sebagai parti nasionalis Melayu yang inklusif dengan menerima kepelbagaian ras sebagai satu fitrah yang sahih.

“Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain.

“Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ia zalim kepada kaum lain. Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan Umno, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis.

“Umno mengakui bahawa dalam sebuah negara majmuk, kerukunan hidup hanya boleh dicapai sekiranya semua kaum mendapat jaminan hak yang sah dan berpeluang mengecap nikmat kemakmuran secara adil.

“Justeru itu, Umno berjuang membela nasib bangsa Melayu dan memartabatkan agama Islam tanpa mengabaikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Selasa.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, parti itu sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu sepertimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan menghormati hak dan kepentingan kaum-kaum lain.

“Umno tidak pernah membolot kekuasaan politik dan nikmat ekonomi untuk kaum Melayu sahaja.

“Pemimpin-pemimpin Umno sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain adalah jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan dalam sebuah negara majmuk,” katanya.

Katanya, Umno telah berjaya meneruskan agenda perjuangan politik inklusif yang menjadi kunci kepada kestabilan, kemanan dan kemakmuran negara.

“Kunci kepada kejayaan Umno selama ini ialah kebijaksanaannya dalam mengurus hubungan kaum dan mengekalkan kestabilan politik.

“Namun hakikatnya, kita tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum,” katanya.

Justeru itu Muhyiddin berkata, perasaan curiga antara kaum mesti segera dibendung bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

“Debat perkauman mesti dihentikan, bukan esok atau lusa, tetapi sekarang. Jangan ada mana-mana kumpulan yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Hormatilah dan terimalah keluhuran Perlembagaan yang telah meletakkan asas-asas bagi negara kita. Saya yakin dan percaya, bahawa rasa curiga antara kaum akan dapat diatasi sekiranya semua kaum mendapat jaminan bahawa hak-hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan dipertahan dan dihormati dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya.

Menurutnya, rakyat perlu sedar bahawa perpaduan Melayu adalah prasyarat kestabilan politik Malaysia.

“Perpaduan Melayu tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perpaduan nasional. Untuk itu, Umno akan terus menerajui perjuangan untuk menyatupadukan bangsa Melayu dan umat Islam.

“Umno akan berganding bahu dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan Melayu dan Islam untuk memperkukuhkan perpaduan, menyemarakkan syi’ar Islam dan memastikan kestabilan politik terus terjamin,” ujarnya.

Dalam menghadapi realiti ekonomi pada hari ini, Muhyiddin berkata, pendidikan berasaskan pengetahuan perlu dipacu bagi menghasilkan pembinaan modal insan Melayu yang berilmu dan berkemahiran tinggi kerana ia merupakan satu satu tuntutan.

“Hanya dengan pendidikan orang Melayu dapat mengasah minda dan menggarap kemahiran untuk bersaing dalam dunia yang semakin mencabar hari ini. Pembudayaan ilmu akan menjadi kunci kepada kejayaan orang Melayu hari ini dan masa depan.

“Tindakan afirmatif akan diteruskan dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi untuk memastikan orang Melayu dan Bumiputera mempunyai tempat dalam proses transformasi negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, Umno tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

“Umno tidak akan ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera.

“Namun, saya tegaskan bahawa dimensi baru dasar tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan.

Tegasnya, hanya golongan yang benar-benar layak sahaja akan diberikan bantuan.

“Peluang-peluang ekonomi akan terbuka luas buat mereka yang gigih berusaha. Sebaliknya, tidak ada ruang buat pengamal rent-seeking yang haloba untuk mengaut laba yang sementara,” katanya.

Justeru, beliau menyeru ahli parti bertekad melakukan perubahan dan pembaharuan, dan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan

Artikel Lain