suria

TNB Akan Nilai Keberkesanan Bacaan Meter Dua Bulan Sekali

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menambahbaik kaedah pembacaan bil elektrik dari semasa ke semasa berikutan terdapat aduan orang awam yang masih tidak berpuas hati dengan kaedah pembacaan meter dua bulan sekali seperti dilaksanakan ketika ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, dalam perbincangan TNB bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) pada Julai lepas, TNB telah mengemukakan beberapa cadangan termasuk meletakkan cara pengiraan bil dalam laman web TNB supaya pengguna dapat mengira sendiri bil mereka.

Selain itu TNB juga akan mengubah cara penyampaian pengiraan pada bil dan menggunakan kaedah prorata apabila tempoh bacaan meter melebihi jumlah hari dalam bulan tersebut, katanya dalam jawapan bertulis kepada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

"Sekiranya tempoh bacaan kurang daripada jumlah hari dalam bulan tersebut, kaedah prorata tidak digunakan dan ini akan memberi kelebihan kepada pengguna," kata Chin.

Fong dalam soalannya ingin tahu tindakan kementerian terhadap TNB kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan pengiraan bil elektrik dua bulan sekali yang mengakibatkan bil yang lebih tinggi.

Menurut Chin, kaedah pembacaan meter dua bulan sekali itu bertujuan membolehkan TNB memaksimumkan penggunaan tenaga kerja sedia ada serta meningkatkan lagi kecekapan TNB.

Katanya, semenjak kaedah itu dilaksanakan pada tahun lepas, beberapa penambahbaikan ke atas kaedah pengiraan itu telah diperkenalkan khususnya dari segi butiran bil bagi meningkatkan pemahaman pengguna terhadap kaedah pembacaan bil elektrik.

"Kaedah pembacaan meter dua bulan sekali ini hanya dilaksanakan kepada sebilangan kecil pengguna iaitu 10 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan pengguna elektrik di Semenanjung," kata beliau.

Beliau juga berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap aduan-aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat-syarikat utiliti ini.

Artikel Lain