suria

Rangka Manusia Dipercayai Milik Lelaki Yang Diculik Tahun Lepas

KUALA LUMPUR: Rangka manusia yang ditemui ditanam di sebuah kebun kelapa sawit dekat Bukit Broga, Semenyih dua hari lepas dipercayai milik seorang lelaki yang diculik empat lelaki Ogos tahun lepas.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner (ACP) Omar Mammah berkata ujian DNA sedang dijalankan bagi memastikan rangka berkenaan milik mangsa atau bukan.

Beliau berkata dalam kejadian tahun lepas, mangsa bersama isteri dan anaknya yang menaiki kereta Proton Waja diculik empat lelaki ketika mereka dalam perjalanan ke Kajang untuk membeli bunga.

"Empat lelaki menahan kereta mangsa dan menikam dada serta mengikat tangan dan kaki mangsa sebelum menyumbatnya ke dalam kereta Waja itu.

"Isteri dan anak mangsa tidak diapa-apakan dan mereka ditinggalkan di kawasan itu sebelum suspek membawa lari kereta Proton Waja itu bersama mangsa," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata isteri mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sejurus kejadian itu dan polis membuat beberapa tangkapan.

Omar berkata pada 29 September lepas, polis Kedah menahan seorang lelaki kerana memiliki senjata api dan ketika soal siasat, suspek mengaku yang dia adalah seorang dari empat suspek yang menculik sebelum membunuh lelaki berkenaan.

"Suspek mengaku mereka membunuh mangsa pada Ogos lepas sebelum menanam mayatnya di sekitar Bukit Broga...motif kejadian dipercayai disebabkan dendam," katanya.

Dua hari lepas, polis menemui rangka manusia berdekatan kawasan perkuburan Cina dekat Bukit Broga, Semenyih ekoran pengakuan seorang suspek berusia 30-an yang kemudian menunjukkan kepada polis tempat dia menanam mayat mangsa.

Polis turut menemui sebuah kereta yang hangus dibakar, dipercayai milik mangsa kira-kira 3 km dari tempat mayat mangsa ditemui.

Difahamkan, rangka terbabit ialah R. Ravi Shankar, 40, atau dikenali dengan gelaran 'Bangsar Shan', iaitu ketua kumpulan samseng yang terkenal di Bangsar.

Dia dipercayai diculik sekumpulan lelaki pada 28 Ogos, tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain