suria

Projek Warisan Merdeka Bukan Arahan Saya - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan pembinaan projek mega menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat adalah cadangan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Malah Perdana Menteri berkata, beliau tidak mengarahkan PNB untuk melaksanakan projek berkenaan.

"Ia telah dirancang dan dicadangkan oleh PNB kepada kerajaan.

"Saya tidak mengarahkan PNB, PNB yang mencadangkan. Ia sangat diinginkan oleh pengurusan dan lembaga pengarah PNB," katanya dalam sidang media selepas sesi Taklimat Presiden sempena Perhimpuan Agung Umno di sini, Selasa.

Pada pembentangan Bajet 2011 Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan pembinaan Menara Warisan Merdeka yang dibina bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara akan dilaksanakan PNB dijangka siap pada 2015.

Menara setinggi 100 tingkat yang menelan belanja RM5 bilion itu lebih tinggi daripada bangunan tertinggi di Malaysia kini iaitu Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat.

Najib berkata, projek itu juga bukan satu pembaziran kepada negara.

Sebaliknya ia bakal memberi keuntungan kepada banyak pihak.

"Projek ini bukan satu pembaziran tapi ianya satu projek yang menguntungkan," ujar beliau.

Mengulas mengenai bantahan daripada pelbagai pihak khususnya pembangkang berhubung pembinaan menara berkenaan, Najib berkata kerajaan mempunyai rasional berhubung projek berkenaan.

"Dalam sejarah kita dulu bila zaman Tun Dr Mahathir Mohamad buat Jambatan Pulau Pinang pun mereka serang, tapi sekarang ini orang Pulau Pinang sendiri minta jambatan kedua.

"Dan bila Tun buat Menara Berkembar Petronas pun beliau telah dipertikaikan, jadi bila kita buat menara 100 tingkat... rasionalnya tetap sama," katanya.

Selain itu Najib yang juga Presiden Umno berkata, pembinaan bangunan itu bakal menjadi lambang kemodenan dan kemajuan negara disamping dapat memacu pembangunan ekonomi negara.

"Pertamanya kita nak satu bangunan yang menjadi lambang bukan sahaja moden tapi negara maju, kita juga nak mencetuskan perkembangan ekonomi... banyak kerja-kerja kontrak dan sebagainya yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi.

"Kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan yang menempatkan peniaga-peniaga bumiputera dan bukan bumiputera, ia juga boleh menjadi pusat tarikan yang boleh memberi keuntungan," katanya.

Artikel Lain