suria

Najib Tinjau Perhimpunan Agung Tiga Sayap Umno

KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan tugas harian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempat meluangkan masa meninjau perjalanan Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, tengah hari ini.

Beliau yang diiringi Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh bersama beberapa pegawai, meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau perhimpunan agung pergerakan Pemuda Umno di Dewan Merdeka; pergerakan Wanita Umno di Dewan Tun Hussein Onn; dan Puteri Umno di Dewan Tun Dr Ismail.

Ketika tinjauannya itu, para perwakilan sedang membentangkan usul ucapan dasar ketua pergerakan masing-masing.

Selepas memastikan kesemuanya berjalan lancar, Najib yang juga Presiden Umno meninggalkan dari PWTC, untuk membuat persiapan bagi menyediakan amanatnya yang akan disampaikan pada perasmian Perhimpunan Agung Umno 2010 di PWTC pagi Khamis.

Antara perkara yang dijangka disentuh dalam amanatnya nanti ialah berhubung cadangannya baru-baru ini, mengenai kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Selain itu, perkara lain yang dijangka disampaikan kepada kira-kira 5,000 perwakilan pada perhimpunan itu ialah berhubung transformasi parti. - BERNAMA

Artikel Lain