suria

Cuti Umum Khas Di Melaka Esok Sempena Status Negeri Maju 2010

MELAKA: Melaka mendapat cuti umum khas esok sempena perisytiharan negeri itu mencapai status negeri maju 2010.

Perisytiharan status negeri maju itu akan dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi persidangan video dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada pukul 8 malam ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata cuti umum itu adalah sebagai penghargaan kepada rakyat Melaka yang bekerja keras dalam usaha mendapatkan status negeri maju yang diiktiraf mengikut spesifikasi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang berpangkalan di Paris.

"Mesyuarat Exco hari ini memutuskan esok adalah cuti umum bagi Melaka sebagai penghargaan dan kerja keras rakyat negeri ini ke arah negeri maju," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran projek pelancongan Monorel Sungai Melaka di Taman Rempah, di sini Rabu.

Beliau berkata cuti khas itu juga terpakai kepada sektor swasta.

"Cuti khas ini hanya untuk tahun ini manakala tahun depan pada tarikh yang sama adalah hari bekerja biasa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain