suria

Bekas CEO Koperasi Dituduh Terima Deposit RM27 Juta Tanpa Kelulusan

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif Koperasi Usahawan Malaysia Berhad Azimi Saruni mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan dengan menerima deposit RM27 juta daripada bukan anggota koperasi tanpa kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dua tahun lepas. Azimi, 45, didakwa melakukan kesalahan itu di No.9-2, Jalan 2/27F, Wisma Koperasi Celcom, Pusat Bandar Wangsa Maju di sini, antara 18 April 2008 dan 10 September 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 50(e) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 91(2) akta yang sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari SKM Kamarulzaman Mohamad Buhari menawarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh, namun peguam Md Yunos Shariff memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM8,000 dengan alasan kesalahan yang dilakukan bukanlah kesalahan jenayah.

"Anak guam saya turut menawarkan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan. Oleh itu tidak wujud sebarang kemungkinan untuk tertuduh melarikan diri daripada menghadiri perbicaraan," katanya.

Hakim Azizah Mahamud kemudiannya membenarkan Azimi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya ditahan di mahkamah sehingga kes selesai. Azizah menetapkan 3 November ini untuk sebutan kes.

Isteri Azimi membayar wang jaminan itu. - BERNAMA

Artikel Lain