suria

"Taiko" Yong Teck Lee Jadi Tumpuan Di Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Menjelang hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi Selasa depan, perhatian kini bertumpu pada bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee yang disebut-sebut antara tokoh yang mungkin mewakili Parti Maju Sabah (SAPP) dalam pembabitan sulung parti itu pada pilihan raya sejak meninggalkan Barisan Nasional (BN) tahun lepas.

Popular dengan gelaran “Sabah Taiko” dalam masyarakat Cina, presiden SAPP berusia 52 tahun itu sendiri tidak menolak kemungkinan akan menjadi calon parti berkenaan dengan berkata kini beliau layak bertanding kerana tempoh hilang kelayakannya kerana melakukan kesalahan pilihan raya, sudah berakhir.

Anggota SAPP lain yang mungkin diletakkan untuk mewakili parti itu ialah setiausaha agung Datuk Richard Yong dan anggota jawatankuasa perhubungan pusat SAPP Karamunting Poon Kee Yang.

Pada 2001, Yong hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun kerana melanggar peraturan dalam pilihan raya umum 1999 berhubung papan iklan dan apabila hukuman itu ditarik balik pada 2006, beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum 2008 apabila permintaan SAPP agar parti itu meletakkan calonnya bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu yang disandang Parti Bersatu Sabah (PBS), ditolak oleh BN.

SAPP dijadual mengumumkan calonnya di Sandakan pada majlis perasmian pejabat baru parti itu di sana Sabtu ini.

Selain BN, parti itu akan berdepan dengan calon parti gabungan PKR-DAP-PAS yang menggelarkan diri mereka sebagai "Pakatan rakyat", yang telah membuat pengumuman akan bertanding pada pilihan raya kecil itu pada Selasa.

Senario berlakunya pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya kecil ini mewujudkan suasana tidak selesa bagi tiga pihak berkenaan, yang dijangka mengumumkan calon masing-masing hujung minggu ini.

"Pilihan raya ini ialah bagi BN-SAPP-PR. Bagi BN, mereka ingin menonjolkan kekuatan mereka, manakala bagi SAPP dan PR pula, mereka ingin menggunakan pilihan raya kecil ini sebagai petunjuk dalam usaha memperkukuhkan kedudukan masing-masing dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata penganalisis politik Rizal Zamani Idris.

Rizal, pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata pilihan raya kecil ini akan menyaksikan pertandingan sengit kerana ia melibatkan pertandingan secara terang-terangan antara BN dan pakatan pembangkang.

"SAPP belum lagi teruji (setelah meninggalkan BN). Kita tidak tahu kekuatan sebenar mereka, walaupun Datuk Yong telah bercakap tentang pelbagai isu yang dekat di hati rakyat Sabah. Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, BN akan menang mudah kerana undi untuk pembangkang akan berpecah," katanya.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis percaya SAPP tidak mungkin meletakkan Yong sebagai calonya kerana risiko yang ditanggung adalah terlalu besar sekiranya beliau kalah, termasuk tamatnya riwayat parti itu.

Inilah sebabnya BN lebih suka sekiranya Yong dan PR bertanding kerana ia akan memberi kelebihan kepada mereka. Malah, beberapa parti komponen BN dipercayai begitu ingin "melumpuhkan" Yong melalui pilihan raya itu.

"Beliau telah mengisytiharkan dirinya sebagai wira Sabah, berjuang untuk rakyat Sabah. Kini, beliau perlu buktikan kemampuannya kepada rakyat Sabah. Kalau saya boleh pergi ke Sandakan untuk bertanding, diapun boleh juga," kata presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk V.K Liew.

Liew berkata sekiranya Yong mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan meletakkan calon lain, ini menunjukkan ahli politik veteran Sabah ini "melarikan diri daripada menghadapi keputusan rakyat."

"Malah, sekiranya SAPP membuat keputusan untuk tidak bertanding atau PR menyokong SAPP, ini menunjukkan bahawa selama ini mereka mempunyai pakatan dan mengadakan kerjasama. Apapun keputusan yang mereka ambil, ia akan meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar untuk dijelaskan," katanya.

Beberapa sumber dalaman parti berkenaan berkata keputusan SAPP dan "Pakatan Rakyat" untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu menunjukkan mereka tidak mempercayai satu sama lain.

Beberapa anggota PR berkata mereka percaya SAPP dijadikan umpan oleh BN untuk memecahkan undi, manakala beberapa anggota SAPP pula berkata sebenarnya, SAPP mengatur langkah strategik untuk membolehkannya mempunyai kuasa tawar-menawar bagi mendapatkan kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Pada perkiraan SAPP, dengan mengumumkan bahawa mereka berminat untuk bertanding bagi kerusi ini akan meletakkan diri mereka dalam keadaan lebih baik untuk berunding bagi mendapatkan kerusi, bukan saja bagi pilihan raya kecil ini, tetapi juga pada pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang," kata seorang anggota parti itu.

SAPP telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka ingin bertanding bagi 40 kerusi negeri pada pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang untuk membolehkan mereka menubuhkan kerajaan baru di negeri ini.

"Sebenarnya, SAPP bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru atau lebih pada pilihan raya kecil ini. Sebabnya mudah saja, mereka mahu melihat berapa banyak undi yang mampu mereka raih dan dalam kalangan parti pembangkang, parti mana yang mendapat paling banyak undi," kata anggota parti itu.

Tetapi, bagi SAPP, sama ada Yong bertanding atau tidak, bukan menjadi isu utama mereka berdasarkan kenyataan timbalan presidennya Datuk Eric Majimbun bahawa mereka perlu meletakkan calon bagi kerusi itu kerana SAPP merupakan parti untuk negeri di Sabah.

"Persoalannya bukan sama ada kami boleh menang atau tidak, sama ada kami akan disembelih atau tidak, tapi mengenai sokongan yang diberi kepada kami. Kalau kami mengalah, ke mana lagi kami hendak pergi? Kalau kami tidak bertanding di Batu Sapi, di mana lagi kami nak bertanding? Kami tak boleh pergi bertanding di Sarawak atau Semenanjung. Kami hanya boleh bertanding di Sabah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain