suria

Syarikat Fail Halang TNB Potong Bekalan Elektrik

SHAH ALAM: Sebuah syarikat industri penyimpanan sejuk beku yang didakwa gagal membayar bil elektrik berjumlah RM4.8 juta, memfailkan permohonan injunksi interim terhadap Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menghalang pemotongan bekalan elektrik.

Permohonan itu difailkan Hai San Es Industries Sdn Bhd untuk membolehkan mereka menunggu keputusan yang akan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil di sini, berhubung semakan kehakiman yang mencabar Akta Bekalan Elektrik 1990.

Syarikat tersebut memfailkan permohonan injunksi interim itu pada 22 September lalu, dan pada Selasa, Hakim Zainal Azman Abd Aziz menetapkan 24 November depan sebagai tarikh keputusan permohonan tersebut.

Beliau juga dijadualkan menetapkan tarikh untuk mendengar semakan kehakiman itu pada hari yang sama.

Sementara itu, peguam P. Paari yang mewakili syarikat terbabit memberitahu, permohonan semakan kehakiman merupakan isu yang berkepentingan awam.

“Perkara ini merupakan kepentingan awam kerana akta tersebut memberikan kuasa kepada TNB untuk memotong bekalan elektrik pengguna tanpa melalui pihak berkuasa yang sewajarnya,” katanya.

Prosiding itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Abdul Mutalib yang mewakili Jabatan Peguam Negara manakala TNB diwakili peguam Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Raja Ahmad Mohzanuddin Shah bagaimanapun enggan memberi komen mengenai perkara tersebut.

Syarikat itu menerima notis mengenai pemotongan bekalan pada 20 September lalu, selepas didakwa gagal menjelaskan bil elektrik sejak Februari 2006 sehingga Mei lalu yang berjumlah RM4.8 juta.

Melalui notis TNB, bekalan elektrik akan dipotong jika syarikat gagal membuat bayaran sebelum 30 September lalu.

Selain itu, syarikat itu juga didakwa telah melakukan kesalahan dengan mencampuri meter elektrik pada 13 Mei lalu.

Turut dinyatakan, syarikat itu boleh didakwa mengikut Seksyen 37, akta yang sama yang memperintukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain