suria

Polis Marin Rampas 110 Kotak Mercun Bernilai RM66,000

PELABUHAN KLANG: Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang merampas 110 kotak mercun buatan China bernilai RM66,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kapar, Klang malam semalam.

Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang Deputi Supritendan (DSP) Norzaid Muhammad Said berkata hasil maklumat orang ramai sepasukan enam polis marin di ketuai Cif Inspektor Sarebjit Singh menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Saga, Kapar pada pukul 9.20 malam.

Norzaid berkata tiada tangkapan dibuat dan mercun-mercun itu diletakkan di dalam sebuah bilik dan keadaan keseluruhan rumah itu berselerak seperti tidak dihuni oleh sesiapa.

"Kita akan kesan pemilik rumah itu bagi siasatan lanjut," katanya lagi.

Kesemua mercun yang dirampas itu telah dibawa ke markas operasi pasukan polis marin dan kes ini disiasat di bawah Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, kata beliau.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat dari mana mercun-mercun itu dibawa masuk dan dipercayai untuk dijual sempena beberapa perayaan pada penghujung tahun ini seperti Deepavali, Krismas dan Hari Tahun Baru.

Norzaid juga berkata setakat 15 Oktober tahun ini pihaknya telah menahan 244 orang pendatang asing tanpa izin dari India, Indonesia, Bangladesh, Afghanistan dan Nigeria. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain