suria

Polis Jumpa Pistol Dan Dadah Dalam Serbuan Di Hutan Melintang

IPOH: Polis menahan seorang lelaki bersama pasangannya seorang wanita rakyat Thailand dan menemui dua pucuk pistol bersama 327 butir peluru hidup serta dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Hutan Melintang, kira-kira 100 km dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner (ACP) Goh Kok Liang berkata lelaki berusia 41 tahun dan pasangannya yang berumur 33 tahun itu disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

Beliau berkata empat biji pil eramin-5 dan tiga paket plastik dadah jenis syabu seberat lebih 90 gram dijumpai dalam pemeriksaan di rumah pasangan itu.

Goh berkata polis menemui dua kotak yang masing-masing mengandungi 40 butir peluru 0.22mm manakala dalam satu ruangan rahsia di bawah lantai, satu lagi kotak logam mengandungi 50 butir peluru 0.38mm dan dua bekas berisi 100 butir peluru 0.38 special.

Dua bungkusan kertas akhbar berbahasa Thai yang dijumpai dalam rumah itu pula didapati mengandungi 80 butir peluru 0.38 special manakala sebuah kotak lagi turut ditemui berisi 40 butir peluru 9mm, katanya.

"Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah syabu," katanya.

Goh berkata polis telah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari ke atas kedua-dua suspek. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain