suria

Pemimpin Sayap Sambut Baik `Kad Skor'

KUALA LUMPUR: Para pemimpin sayap Umno menyambut baik cadangan untuk memperkenalkan 'Kad Skor' bagi menilai tahap prestasi mereka dalam masa dua tahun akan datang.

Malah sistem 'Kad Skor' berkenaan akan diperkenalkan di semua peringkat kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri meliputi peringkat bahagian dan cawangan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, pengenalan sistem 'Kad Skor' tersebut merupakan nilai tambah kepada sistem petunjuk prestasi utama (KPI) yang diperkenalkan kepada ketiga-tiga sayap Umno tahun lalu.

"Secara keseluruhannya saya amat kagum kerana ia akan memberi satu ransangan kepada Pemuda.

"Cadangan ini baik dan perlu digunapakai untuk setiap peringkat... dari atas sampai ke bawah. Namun dari segi perlaksanaanya ia perlu ada kriteria yang berbeza di setiap peringkat," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Selasa.

Terdahulu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya beliau berkata Umno akan menggunakan sistem tersebut yang akan menilai penglibatan dan prestasi pemimpin setiap sayap dalam bidang ekonomi, pendidikan, agama, kebudayaan, kesukanan, khidmat sosial, pembangunan keluarga, pemeliharaan alam sekitar dan hubungan kaum.

Sementara itu Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan cadangan berkenaan kepada semua pemimpin sayap Umno adalah tindakan yang baik dan wajar dilaksanakan segera.

“Saya akan bincang dengan Exco Pergerakan Wanita dan apabila mendapat persetujuan daripada mereka kita akan segera melaksanakannya, cara ini lebih teratur dan sempurna,” katanya.

Selain itu Shahrizat berkata, ‘Kad Skor’ tersebut merupakan satu sistem pengawasan dan KPI bagi setiap pemimpin Wanita Umno tidak kira sama ada di peringkat Cawangan mahupun Bahagian.

“Oleh kerana kita tidak ada sistem yang telus jadi idea Tan Sri Muhyiddin Yassin itu adalah sangat baik untuk dilaksanakan bagi menilai prestasi pemimpin di semua peringkat,” katanya.

Bagi Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, pergerakan itu akan terus mengaplikasi penggunaan kad itu selepas tamatnya Perhimpunan Agung Umno pada Sabtu ini bagi menunjukkan komitmen mereka kepada parti.

Katanya, penggunaan kad itu akan digunakan sehingga ke peringkat akar umbi bagi menilai tahap kesetian mereka kepada parti.

"Kepentingan 'Kad Skor' ini bukan sahaja untuk mencatatkan kehadiran dan penyertaan mereka dalam aktiviti parti tetapi untuk menunjukkan kesungguhan mereka terhadap parti," katanya.

Beliau juga berkata, pengiktiran patut diberikan kepada mereka yang mencapai standard yang ditetapkan selepas tempoh dua tahun penilaian prestasi dibuat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain