suria

PAS Umum Calon DUN Galas Khamis Ini

GUA MUSANG: PAS akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Khamis ini, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata nama calon itu akan diumumkan di sini dan calon itu merupakan seorang tokoh yang disukai oleh penduduk Galas.

"Kita ada ramai calon dalam senarai pemilihan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 November ini dan hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Oktober ini.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS akibat kanser usus pada 27 September lalu.

Bernama difahamkan antara pemimpin tempatan yang disebut bakal menjadi calon PAS ialah Ketua Perhubungan Orang Asli kawasan Galas, Pandak Panjang Ey dan Timbalan yang Dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad.

Selain itu, nama Ketua Dewan Pemuda PAS Gua Musang, Abdullah Husein, Naib Yang Dipertua PAS Gua Musang, Husin Embong dan Setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad turut disebut-sebutkan dalam senarai itu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain