suria

Lelaki Baru Seminggu Bebas Dari Penjara Ditahan Miliki Heroin

KUALA TERENGGANU: Tidak sampai seminggu dibebaskan dari Penjara Marang kerana kesalahan berkaitan dadah, seorang lelaki sekali lagi ditahan apabila disyaki memiliki heroin seberat 16.5 gram heroin yang boleh menyebabkannya digantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 3 petang semalam, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan bersama seorang lagi rakannya berusia 24 tahun ketika sedang leka membungkus heroin di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Paya Berenjut, Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supritendan Abdullah Sani Salat berkata ketika serbuan dilakukan kedua-dua lelaki itu cuba melarikan diri menyebabkan berlaku sedikit pergelutan sebelum mereka berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan, polis menemui 10 biji pil kuda pada setiap seorang suspek dan lapan paket heroin seberat 16.5 gram di ruang tamu rumah berkenaan.

"Dadah yang dibungkus itu dipercayai untuk edaran sekitar kawasan Chukai," katanya ketika dihubungi di sini Selasa.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan 39B akta yang sama.

Kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain