suria

Kekuatan Modal Insan Perlu Untuk Capai Matlamat Negara - Pak Lah

KUALA LUMPUR: Kekuatan modal insan merupakan aset terpenting yang perlu dicapai terlebih dahulu dalam usaha Malaysia menjadi negara maju, kata pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia Tun Abudullah Ahmad Badawi.

Bekas Perdana Menteri kelima itu berkata, kekuatan modal insan terletak kepada kemampuan seseorang menguasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai aspek yang mampu memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat serta negara.

"Jadi dalam hal ini, kekuatan mental itu perlu menjadi milik kita, bukan perkara yang senang untuk menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Kesihatan Mental Mendepani Cabaran Semasa di sini, Selasa.

Selain itu, beliau berkata kekuatan modal insan juga perlu diasaskan kepada kekuatan moral kerana tanpanya, ilmu yang dikuasai, mungkin disalah guna.

"Banyak orang yang pandai (berilmu) jadi penyangak, jadi penipu, penjenayah dan macam-macam, jadi, apa guna orang yang macam ni.

"Ini bukan modal insan yang boleh menjadi kebanggaan kepada kita, dan modal kepada negara," katanya yang menyifatkan perkara itu sebagai hanya memalukan negara.

Abdullah berkata kesihatan fizikal juga merupakan perkara penting dalam menjadikan modal insan berkualiti yang boleh menyumbang dalam pelbagai bidang.

"Kita nak badan yang sihat dan cergas untuk menjadikan kita bukan sahaja orang yang berilmu, tetapi juga yang mampu untuk bekerja bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau turut menekankan persekitaran yang bebas untuk rakyat berfikir, supaya idea kreatif dan daya inovasi dapat dikembangkan, seterusnya menyumbang ke arah kemajuan negara.

"Kalau ia sentiasa dibelenggu ataupun dikawal, itu tak boleh, buat ini tidak boleh, maka tidak akan lahir kreativiti," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdullah berkata kesejahteraan mental, kestabilan emosi, kemantapan sahsiah dan personaliti, kecergasan fizikal serta perhubungan sosial yang positif, amat penting dalam menjalani hidup yang sihat.

Memetik statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menganggarkan 15 peratus penyakit global pada 2020 adalah berkaitan penyakit mental, beliau berharap tidak ramai rakyat Malaysia akan berdepan masalah tersebut kerana Malaysia menyasarkan tahun itu untuk menjadi sebuah negara maju.

"Oleh itu, diharapkan dengan adanya seminar seperti ini, perkara seperti melatih lebih banyak tenaga pakar dalam hal berkaitan, memperbanyakkan lagi pusat-pusat pemulihan dalam komuniti dan menggalakkan penubuhan sukarela, dapat dibincangkan dan diusulkan," katanya yang berharap kerajaan memperuntukkan sejumlah dana dalam bidang penyelidikan mengenai kesihatan mental.

Seminar dua hari anjuran bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kementerian Kesihatan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 10 Oktober lepas, bertujuan mempromosi penjagaan kesihatan mental terbaik kepada masyarakat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain