suria

Jemaah Haji Diingat Jangan Lakukan Bidaah

MEKAH: Jemaah haji Malaysia yang menunaikan ibadah haji musim ini diingatkan tidak membazir masa dengan merancang aktiviti mereka serta menjauhi perbuatan kufur atau bertentangan dengan akidah semasa berada di tanah suci.

Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah ketika memberi nasihat itu meminta mereka menggunakan kesempatan berada di tanah suci sebaik-baiknya dengan menumpu kepada amalan-amalan bagi mencapai kesempurnaan ibadah.

"Analisis dan maklum balas yang diterima musim lepas mendapati ada jemaah terutama golongan tua masih melakukan perbuatan bidaah seperti mengambil batu di Mina dengan kepercayaan untuk murah rezeki.

"Perbuatan khurafat dan bidaah seperti ini harus dihentikan. Lebih baik berdoa di tempat mustajab antaranya di Multazan dan hadapan Kaabah di Masjidil Haram memohon Allah SWT mengabulkan doa kita," kata beliau kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah di sini hari ini.

Tengku Aziz yang juga setiausaha bahagian Ibadat dan Ziarah TH di Mekah mengingatkan jemaah tentang tujuan utama mereka datang menunaikan fardu haji dan digalakkan banyak meluangkan masa beribadat di Masjidil Haram.

"Di sini saya ingin menekankan tentang rukun wajib haji dan umrah terutama jemaah yang kali pertama menunaikan haji supaya benar-benar faham mengenainya bagi membantu mereka mendapat haji mabrur.

"Kita mendoakan semoga jemaah yang mendapat haji mabrur apabila pulang nanti akan terus mengamalkan ciri-ciri orang solehah," katanya.

Beliau menambah, jemaah yang tiba awal di tanah suci digalakkan melakukan ziarah di Arafah (tempat wukuf), Muzdalifa (tempat bermalam) dan Mina (tempat melontar jamrah) bagi mendapat gambaran untuk membuat persediaan menjelang hari wukuf 14 Nov ini.

Kota Mekah mula menerima kedatangan tetamu Allah setiap hari. Rombongan kedua jemaah haji Malaysia dari Madinah tiba di hotel Al Janadriyah awal hari ini selepas rombongan pertama lebih 1,100 orang tiba semalam.

Perjalanan mereka dengan bas adalah lancar. Kesihatan jemaah Malaysia yang berada di Kota Mekah juga dalam keadaan baik dan memuaskan walaupun cuaca panas dan kering. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain