suria

Ibu Tunggal Filipina Terlepas Hukuman Gantung

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal dari Filipina terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda pertuduhan mengedar dadah kepada pemilikan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah atas tuduhan asal.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Elisa Sans Gabriel Ressurreccion, 47, dari Binagonan, Manila, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan pindaan.

Tertuduh diarah menjalani hukuman itu mulai tarikh tangkapan pada 28 Ogos, 2009.

Mohd Sofian berkata keterangan daripada sembilan saksi pendakwaan hanya berkisar kepada kesalahan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan.

Mengikut tuduhan pindaan, wanita itu didakwa memiliki 1,126.9 gram kokain di bas terminal Puduraya di sini pada kira-kira pukul 8.50 pagi, 28 Ogos, 2009.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata mahkamah telah memberi peluang kedua untuk tertuduh menebus semula kesilapannya dan memberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatannya itu.

Katanya mahkamah mengambil kira keadaan Ressurreccion yang merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak berusia antara 19 dan 25 tahun serta bapanya mengalami masalah jantung.

"Anda bernasib baik kerana terlepas daripada hukuman berat di bawah akta tersebut di mana wanita dikecualikan daripada sebatan," kata Mohd Sofian.

Mengikut fakta kes, atas maklumat awam, polis telah mengekori Ressurreccion dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke terminal Puduraya.

Tertuduh ditahan apabila mengambil bagasinya dari tempat menyimpan bagasi di mana polis menemui 23 helai blaus yang dipercayai diisi dengan dadah.

Laporan ahli kimia mengesahkan dadah tersebut adalah dadah kokain seberat 1,126.9 gram.

Dalam rayuannya, peguam yang dilantik mahkamah, N.Subramaniyan berkata tertuduh pernah bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak di Taiwan untuk menampung keluarganya sebelum terbabit dengan sindiket dadah atas dorongan teman wanitanya dari negara sama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman kerana kes itu membabitkan jumlah dadah yang besar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain