suria

Forum Antarabangsa Mampu Satukan Suara Dunia

KUALA LUMPUR: Forum yang mengumpulkan suara-suara antarabangsa disaran diadakan dengan lebih kerap, kata Tan Sri Syed Hamid Albar.

Syed Hamid berkata, melalui forum ia dapat mengumpulkan suara antarabangsa dalam isu-isu yang melibatkan masyarakat dunia bagi mencapai satu suara yang sama.

Katanya, daripada pandangan dan pendapat berbeza akan menjadi titik permulaan kepada kata sepakat antara semua masyarakat.

"Walaupun forum dilihat sebagai medium yang tidak memberikan hasil tetapi melalui perkongsian pendapat dan perbezaan pendapat ia sebenarnya merapatkan jurang antara masyarakat dunia," katanya pada ucapan penutup Forum Antarabangsa yang diadakan hari ini sempena Perhimpunan Agung Umno 2010, di sini, Selasa.

Forum dua hari bertemakan "Pembentukan Warga Global : Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik" itu, yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dihadiri 63 wakil 22 parti politik dari 20 negara, Kelab UMNO Luar Negara (KULN) serta delegasi kedutaan asing dan penganalisis politik.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, konsep globalisasi perlu diperluaskan kerana ia mampu merapatkan jurang antara masyarakat dunia.

Katanya, penyatuan masyarakat dunia dan perkongsian maklumat adalah penting bagi menyelesaikan segala konflik yang sedang melanda dunia.

Bagaimanapun, Syed Hamid berkata, disebalik pelbagai pergolakan yang berlaku, tanpa disedari masyarakat dunia telah menjadi global dan ia adalah kemajuan yang baik.

Katanya, dunia juga perlu mengikis tanggapan bahawa agama menjadi punca konflik kepada permasalahan yang melanda kerana ia bukan asas kepada perbalahan yang berlaku.

Sementara itu, beliau turut menyatakan rasa gembira dengan kejayaan forum yang berakhir hari ini kerana telah berjaya menyatukan pelbagai pendapat bernas daripada semua deligasi terlibat.

"Tidak kira kita berbincang mengenai semangat antarabangsa mahupun bersifat kenegaraan.

"Yang lebih penting kita memahami satu antara lain dan mendapat input baru," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain