suria

BPA Terima Enam Aduan Libatkan Sindiket Penipuan Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Meskipun media banyak mendedahkan mengenai sindiket penipuan antarabangsa, namun masih ada individu yang gelap mata dan dengan mudah menyerahkan wang ringgit sebelum menyedari mereka ditipu sindiket berkenaan.

Pada tahun ini sahaja, Biro Pengaduan Awam (BPA) telah menerima enam aduan membabitkan sindiket tersebut yang menggunakan taktik kononnya mangsa diwasiatkan harta pusaka jutaan ringgit tetapi mangsa perlu membayar sejumlah wang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata enam aduan dari individu berbeza itu dianggarkan membabitkan kerugian antara RM500,000 hingga RM1 juta.

"Mangsa biasanya akan menerima e-mel atau panggilan telefon dari seorang wanita yang tidak dikenali dari luar negara sebelum menjadi kawan sekurang-kurangnya selama empat bulan malah turut datang ke negara ini untuk melawat mangsa.

"Kemudian setelah pulang ke negara asal, wanita tersebut akan menghantar e-mel dengan mengatakan bapa/ibu/nenek/datuk atau saudaranya yang kaya meninggal dunia dan meninggalkan sebahagian harta untuk mangsa," katanya kepada pemberita di bangunan MIC di Jalan Rahmat di sini Selasa.

Beliau berkata mangsa yang terpedaya kemudiannya membayar sekurang-kurangnya RM30,000 kononnya untuk kos penghantaran dan akan menerima dokumen berkaitan pemindahan nama harta tersebut.

Katanya, mangsa sekali lagi perlu membayar wang antara RM30,000 hingga RM70,000 apabila bungkusan tersebut kononnya ditahan pihak kastam dan selepas bayaran dibuat, sindiket tersebut akan 'hilang' dan tidak dapat dihubungi.

"Justeru saya hendak mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali terpedaya dan tamak apabila ditawarkan sesuatu yang bukan milik kita malah tiada sesiapa yang akan menyerahkan harta pusaka kepada mereka yang tiada hubungan tali persaudaraan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain