suria

BN Umum Calon Batu Sapi dan Galas Ahad Ini – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi dan Galas akan diumumkan pada 24 Oktober ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengurusan BN juga telah bersetuju melantik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang akan berlangsung pada 4 November ini.

“Musa akan dibantu oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kittingan sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil di Batu Sapi.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas calon akan datang daripada Umno sementara di Batu Sapi kita akan tunggu calon yang akan dikemukakan oleh PBS. Kedua-dua calon ini akan diputuskan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan calon di Galas sementara di Batu Sapi, Musa Aman akan memperkenalkan calon BN di sana.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan DUN Galas akan diadakan serentak pada 4 November sementara penamaan calon pada 26 Oktober ini.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya daripada (BN) Datuk Edmund Chong Ket Wah, dalam nahas jalan raya pada 9 Oktober lalu.

Sementara, pilihan raya DUN Galas diadakan ekoran kematian peyandangnya, Che Hashim Sulaima pada 27 September lalu.

Mengenai persiapan Perhimpunan Agung Umno, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, perhimpunan kali ini penting bagi masa depan Umno dan BN.

“Kita harap supaya apa yang akan dibahaskan oleh perwakilan pada perhimpunan kali ini akan digunapakai sebagai halatuju demi menjamin masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain