suria

Anggota Parti Mesti Bekerja Kuat Bagi Memenangi Pilihan Raya Kecil Galas Dan Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Bekas presiden Umno Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata semua anggota parti mesti bekerja kuat dan bersedia untuk bekerja demi parti bagi memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Beliau yang juga bekas perdana menteri berkata tiada pilihan lain yang boleh dibuat oleh Umno kerana keputusan akhir adalah terserah kepada rakyat.

"Pilihan yang ada ialah semua anggota parti mesti bekerja kuat, jangan bergaduh sesama sendiri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar "Kesihatan Mental Mendepani Cabaran Hidup Semasa" di sini, Selasa.

Beliau juga menasihati anggota parti supaya menjaga kelakuan dalam parti dan tidak bergaduh sesama sendiri jika mempunyai perselisihan faham.

"Jangan pula bila calon itu dipilih banyak pula yang nak bertekak, menentang dan merajuk nak keluar parti.

"Apa guna jadi ahli parti kalau kita tidak bersedia untuk bekerja bagi memenangkan calon pilihan parti kita," katanya.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas dan Batu Sapi ditetapkan pada 26 Oktober ini dan hari pengundian pada 4 November jika ada pertandingan.

Mengenai 'Model Politik Baru' yang diusulkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini, beliau berkata ia adalah tindakan yang baik.

"Saya berpendapat bahawa apa juga tindakan yang diambil yang merupakan tindakan baru atau pendekatan baru untuk memperbaiki hubungan antara parti dengan rakyat adalah baik," katanya.

Namun, beliau berpendapat model itu mesti dirancang dengan teliti dan sebaik mungkin dan bukan hanya untuk membuktikan keupayaan membawa pendekatan baru.

"Tidak semua orang boleh mengatakan ini cara saya yang baru dan ini cara dia yang baru, tetapi mesti ada satu kesepakatan dan mesti ada satu kesediaan untuk sama-sama mengikut pendekatan atau metodologi yang akan dibawa itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain